HIBURAN
Lebih 4,000 peminat hadir ‘Pentas Kebanggaan’, raikan hiburan dan e-sukan tempatan

Acara dua hari itu bukan sahaja meraikan pentas akhir MPL MY musim ke-15, malah menyatukan dunia muzik dan komuniti e-sukan dalam satu pengalaman yang inklusif dan interaktif. - Gambar Astro
KUALA LUMPUR: Lebih 4,000 peminat hiburan dan e-sukan berhimpun di Stadium Juara, Bukit Kiara sepanjang hujung minggu lalu bagi memeriahkan acara “Pentas Kebanggaan”, hasil kolaborasi tahun kedua antara Astro dan Mobile Legends: Bang Bang Professional League Malaysia (MPL MY).
Acara dua hari itu bukan sahaja meraikan pentas akhir MPL MY musim ke-15, malah menyatukan dunia muzik dan komuniti e-sukan dalam satu pengalaman yang inklusif dan interaktif.
Kemuncak kejohanan menyaksikan Selangor Red Giants (SRG.OG) mengukuhkan dominasi mereka apabila menewaskan Homebois 4-0 dalam aksi Grand Final Best of Seven. Kemenangan itu turut melakar sejarah baharu buat SRG.OG sebagai juara tiga musim berturut-turut sejak musim ke-13.
Selain pertandingan, pentas hiburan turut dimeriahkan dengan persembahan daripada artis terkenal seperti Isaac Voo dan Mimi Fly.Menurut Isaac, keterlibatannya dalam acara ini membuka ruang baharu buat artis untuk mendekati generasi muda menerusi e-sukan.
“Saya memang sentiasa mencari peluang untuk cabar diri dalam sesuatu yang baharu. Bila saya tahu saya terlibat dalam e-sukan nasional seperti Pentas Kebanggaan ini, saya rasa sangat bangga kerana ini bukan sekadar permainan malah ini juga tentang semangat berpasukan dan strategi,” katanya.
Bagi Mimi Fly pula, kolaborasi antara muzik dan e-sukan perlu diteruskan sebagai platform memperkenalkan bakat tempatan.
“Tahun lepas saya cipta lagu tema untuk MPL berjudul Jaguh. Kali ini, saya turun sendiri ke lapangan dan saksikan betapa luar biasanya sambutan terhadap bakat gaming di Malaysia. Kita patut bangga dan terus angkat mereka,” katanya.

(Dari kiri) Isaac Voo, Mimi Fly, Lucidrari dan Heil Nuan bergambar di Astro Showcase yang menampilkan pelbagai aktiviti interaktif serta pratonton kandungan eksklusif Astro sepanjang dua hari acara berlangsung. - Gambar Astro
Dari sisi atlet, pemain profesional Rina dari NAVI MY, Gojes dari SRG.OG, dan Melqt dari Homebois turut menzahirkan rasa teruja dengan sokongan luar biasa yang diterima sepanjang musim ini.
“Berbanding musim lepas, kali ini suasananya lebih meriah. Lokasi di Stadium Juara ini membolehkan lebih ramai hadir menyokong secara langsung,” kata Rina.
“Setiap tahun, penganjuran MPL MY terus meningkat dari segi produksi, lokasi dan pengalaman. Harapan saya, lokasi akan terus diperbesarkan kerana sambutan peminat sangat luar biasa,” tambah Gojes.
“Kepada adik-adik yang minat e-sukan, teruskan belajar, jangan ego dan sentiasa cari kawan untuk berkembang. Itu kunci untuk maju,” pesan Melqt.
Mereka juga sebulat suara menekankan kepentingan pendidikan dan restu ibu bapa sebelum menceburi bidang profesional e-sukan secara serius.
Penganjuran Pentas Kebanggaan jelas membuktikan bahawa e-sukan bukan sekadar kompetisi digital, malah mampu menjadi medium inspirasi nasional yang menyatukan komuniti, budaya, dan semangat anak muda Malaysia.

Selangor Red Giants (SRG.OG) mendominasi pentas anugerah selepas diumumkan sebagai ‘Dream Team of the Season’ dalam kejohanan MPL MY Musim ke-15. - Gambar Astro
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami