Polis Kedah patah cubaan edar bunga ganja bernilai RM4.04 juta

Adzli memberi penerangan pada sidang media mengenai rampasan dadah jenis bunga ganja seberat 112.43 kilogram bernilai kira-kira RM4.04 juta pada 29 Okt lalu, di IPK Kedah, hari ini. - Gambar Bernama
ALOR SETAR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah berjaya mematahkan cubaan pengedaran dadah jenis bunga ganja seberat 112.43 kilogram (kg), dianggarkan bernilai RM4.04 juta pada 29 Okt lepas.
Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata dalam operasi khas dengan bantuan Pasukan Peronda Lebuhraya Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman dan JSJN Kontinjen Pulau Pinang, pihaknya menahan kenderaan jenis Toyota Vellfire pada 2.30 petang di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Tol Sungai Dua, Pulau Pinang.
"Seorang lelaki tempatan berumur 24 tahun ditahan dan pemeriksaan lanjut di bahagian belakang kenderaan itu telah menjumpai empat kotak besar dibalut plastik hitam, yang masing-masing mengandungi 51 bungkusan plastik lutsinar berisi dadah jenis bunga ganja.
"Suspek mengambil kenderaan sewa sebelum memandu ke Chuping, Perlis dan tiba di sana, tiga ahli sindiket lain mengambil kenderaan itu dan meninggalkan suspek di sekitar Chuping sebelum menyerahkan kenderaan berserta dadah itu kembali kepada suspek," katanya pada sidang media di IPK Kedah, di sini hari ini.
Beliau berkata sindiket yang dianggotai lima individu dan mula beroperasi sejak awal bulan lepas di sekitar utara, terutamanya di Pulau Pinang itu mengambil bekalan dadah bunga ganja melalui "laluan tikus" di Chuping, sebelum dipercayai dihantar ke Kuala Lumpur.
"Dadah ini boleh digunakan oleh 224,874 pengguna sekiranya terlepas ke pasaran. Soal siasat juga mendapati suspek yang berasal dari Seberang Perai, Pulau Pinang dan mempunyai lapan rekod jenayah lampau melibatkan jenayah judi itu berperanan sebagai transporter dengan upah RM18,500.
"Suspek direman selama tujuh hari hingga Rabu ini untuk siasatan lanjut di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, Pulau Pinang dan kes disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. Polis sedang mengesan baki ahli sindiket yang dipercayai masih bebas," katanya.
Dalam kes berasingan, Adzli berkata pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Kubang Pasu menahan seorang lelaki berumur 59 tahun dan merampas ganja seberat 15.5 kg dianggarkan bernilai RM48,050 dalam satu serbuan di sebuah rumah di Pida 6, Ayer Hitam pada 29 Okt.
"Pemeriksaan di luar rumah suspek menemukan satu tong plastik mengandungi lapan bungkusan plastik lutsinar berisi ganja. Siasatan awal mendapati, kesemua dadah yang dibawa dari Satun, Thailand melalui laluan laut itu diserahkan oleh seorang lelaki kepada suspek untuk disimpan buat sementara waktu.
"Siasatan lanjut membawa kepada penahanan seorang lelaki yang merupakan master mind sindiket itu di Arau, Perlis pada hari yang sama dan turut dirampas ganja seberat 3.3 kg. Suspek direman selama enam hari hingga esok dan kes disiasat di bawah seksyen 39B ADB 1952," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


