Pementasan teater selama 70 minit itu diarahkan oleh pengarah teater terkenal dari China, Wang Chaoge itu melibatkan enam babak penceritaan yang diinspirasikan daripada identiti masyarakat Melaka yang berbilang bangsa hidup dalam suasana yang harmoni.
Antara enam babak yang dipersembahkan ialah kisah Parameswara membuka Kota Melaka, diikuti dengan kisah pelayaran Laksamana Cheng Ho ke Melaka, persembahanan tarian masyarakat Baba Nyonya dan persembahan diakhiri dengan 200 pelakon dan penari mengucapkan selamat jalan kepada penonton.
Permainan elemen menarik berjaya memukau kira-kira 4,000 penonton yang menyaksikan Encore Melaka. - Astro AWANI/Muzaffar Mustapa
Majlis pembukaan teater itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari, yang turut dihadiri oleh Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi.
Pengerusi Yong Tai Berhad, Datuk Syed Norulzaman Syed Kamarulzaman, menerusi satu kenyataan hari ini, berkata acara istimewa yang dibawakan oleh Yong Tai Berhad itu adalah bagi meraikan 10 tahun Melaka diisytiharkan sebagai Kota Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).
Beliau berkata kemudahan teater yang boleh berputar 360 darjah itu bukan hanya memberi lebih banyak pilihan kepada pelancong datang ke sini tetapi turut membantu pertumbuhan ekonomi dan pelancongan negara.
Katanya, beliau sendiri memilih Melaka sebagai tapak 'Impression Series' di luar negara China kerana negeri ini kaya dengan sejarah.
Teater, dengan teknologi yang inovatif pertama seumpanya di Asia Tenggara itu dibina dengan nilai RM100 juta, dijangka mampu menyumbang kira-kira RM60 juta untung bersih setiap tahun, mampu menarik pelancong dari seluruh dunia terutama dari China, Amerika Syarikat dan negara-negara Eropah.
-- BERNAMA