PELAKON dan penyanyi Korea Selatan, Lee Seung-gi mengumumkan akan mengakhiri zaman bujangnya bersama teman wanitanya yang juga seorang bintang filem, Lee Da-in.

Dalam catatan pada laman sosial media pada peminatnya, Lee Seung-gi berkata, dia telah melamar Lee Da-in dan akan melangsungkan perkahwinan mereka pada 7 April depan.

"Saya ingin menyatakan saya telah memutuskan untuk berkahwin dengan Lee Da-in.

"Saya telah melamarnya dan dia telah bersetuju untuk berkahwin pada 7 April nanti," tulisnya.

Rata-rata peminatnya teruja dengan berita gembira itu dengan ucapan tahniah namun ada segelintir yang merasakan Lee Da-in bukan calon yang sesuai.

Keluarga pelakon itu sebelum ini pernah terpalit dengan kontroversi apabila bapa tirinya dipenjara atas tuduhan memanipulasi harga saham bagi mengaut keuntungan.

Sebelum ini Lee Seung-gi, yang terkenal melalui filem A Korean Odyssey dan Mouse, juga pernah menjadi mangsa penipuan.

November lalu, bekas agensi Lee Seung-gi, Hook Entertainment didakwa tidak pernah membayar penyanyi itu walaupun dia telah menghasilkan beberapa album sejak kemunculan pertama pada tahun 2004.

Bagi menyelesaikan kes berkenaan, agensi itu telah membayar 5.4 bilion won (AS$4.3 juta) kepada Lee Seung-gi pada bulan Disember.

Lee Seung-gi berkata, dia akan menggunakan duit itu bagi membantu keluarga yang menghadapi kesulitan kewangan.

"Ada di antara mereka yang tidak dapat menjalani kehidupan yang normal akibat penyakit.

"Ada yang terpaksa lupakan impian mereka kerana kekurangan duit. Duit ini tidak dapat membantu semua orang tetapi ia satu langkah ke arah itu," katanya.