SEORANG lelaki Pakistan diberi jolokan peminat Taylor Swift terunggul selepas memecahkan rekod dunia apabila berjaya mengenal pasti lebih 30 buah lagu penyanyi itu hanya dalam tempoh satu minit.

Bilal Ilyas Jhandir, 20, disenaraikan dalam Guinness World Records apabila berjaya menamakan 34 lagu yang disenaraikan secara rawak, mengatasi rekod sebelumnya yang dipegang hos radio Britain, Dan Simpson dengan 27 lagu pada 2019.

Bilal diberi tugas yang mencabar untuk mengenal pasti lirik lagu hit Taylor Swift, yang dibacakan tanpa iringan muzik latar.

“Saya mendengar semua lagu beliau. Saya boleh mengenal pasti hampir mana-mana lagunya daripada liriknya sahaja,” kata Bilal, yang mula menjadi Swift ketika berusia 13 tahun.

Bilal bagaimanapun mendedahkan bahawa dia mengambil masa 13 minggu untuk 'sesi ulang kaji' sebagai persediaan, sehinggakan menyebut barisan lirik-lirik tersebut semasa sedang tidur.

Di sebalik cabaran itu, Bilal berkata tugas itu begitu 'mudah', dan satu-satunya perkara yang membuat cabaran itu sedikit sukar ialah kerana lirik tersebut dituturkan oleh seorang lelaki.

Dia berpendapat memecahkan rekod dunia adalah cara terbaik untuk menyatakan dedikasi dan "cinta yang luar biasa" kepada Taylor Swift.

"Perkara yang paling saya suka tentang Swift ialah cara dia menulis lagu-lagu hebat yang berjaya menyentuh hati saya," kata pelajar jurusan Sains Komputer itu sambil menambah, sangat bangga mendapat pengiktirafan berkenaan.

“Digelar ‘Certified Swiftie’ atau ‘Officially Amazing Swiftie’ adalah satu perkara yang luar biasa,” tambahnya.