ENTERTAINMENT
LIMA’25: Radin 3 Pagi ERA teruja saksi aksi memukau juruterbang TUDM

Radin Amir (tig dari kanan) menyifatkan LIMA'25 membuka mata rakyat Malaysia terhadap kepentingan memiliki pasukan pertahanan yang berkemahiran tinggi dan dilengkapi teknologi canggih.
LANGKAWI: Penyampai radio ERA, Radin Amir, meluahkan rasa kagum dan bangganya selepas menyaksikan sendiri kehebatan juruterbang tempur Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) beraksi dalam demonstrasi udara sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA ’25).
Dalam sesi demonstrasi yang berlangsung di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Radin turut menyertai ribuan pengunjung yang terpukau menyaksikan kecekapan luar biasa juruterbang TUDM mengendalikan pesawat pejuang seperti Sukhoi Su-30MKM dan F/A-18D Hornet.
“Saya betul-betul terpegun dan terinspirasi. Melihat sendiri bagaimana pesawat ini dikendalikan dengan begitu cemerlang membuatkan saya rasa sangat bangga menjadi rakyat Malaysia. Mereka adalah barisan hadapan pertahanan udara kita yang sebenar,” kata Radin ketika ditemui di lokasi acara.
Kehadiran Radin di LIMA ’25 merupakan sebahagian daripada usaha untuk merapatkan hubungan antara pihak tentera dan masyarakat awam – khususnya dalam menarik minat generasi muda terhadap dunia pertahanan dan aeroangkasa.Acara dwitahunan ini yang berlangsung dari 20 hingga 24 Mei, menghimpunkan pemain industri pertahanan dari seluruh dunia serta berjaya menarik lebih 100,000 pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Seperti edisi-edisi terdahulu, demonstrasi udara oleh TUDM kekal sebagai antara tarikan utama.
Radin berharap pendedahan seperti ini dapat membuka mata rakyat Malaysia terhadap kepentingan memiliki pasukan pertahanan yang berkemahiran tinggi dan dilengkapi teknologi canggih.
“Anak muda perlu hargai dan sokong pengorbanan anggota keselamatan negara. Inilah wira sebenar kita,” tambahnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami