Lakon tari Matah Ati yang pernah mengkagumkan penonton di Singapura, Jakarta dan Solo akan dipentaskan di Istana Budaya pada penghujung Mei ini.

Lakon tari yang mengangkat kisah sejarah penentangan kaum wanita Jawa terhadap penjajahan Belanda di Jawa, Indonesia itu akan menemui peminat teater di negara ini selama empat hari antara 22 hingga 25 Mei nanti.

Lakon tari itu ditulis dan diarah oleh penggiat teater yang dihormati di Indonesia, Atilah Soeryadjaya, yang juga bertindak sebagai pereka busana dan penerbit.

Menurut Atilah, Indonesia mempunyai banyak cerita sejarah yang menarik yang memberi inspirasi kepada generasi hari ini dan kisah kepahlawanan Rubiyah dalam Matah Ati adalah satu daripadanya.

"Kisah ini jadi sangat relevan pada hari ini kerana apa yang diyakini oleh Rubiyah pada eranya adalah keyakinan yang sama yang dipegang oleh banyak wanita Indonesia sekarang," katanya.

Atilah merujuk kepada perjuangan yang membenihkan rasa cinta kepada tanah air dan perpaduan serta membentuk nilai-nilai kemanusiaan.

Satu adegan daripada lakon tari Matah Ati semasa dipentaskan di Esplanade, Singapura pada 2010. -- Foto PT Global 3L
Satu adegan daripada lakon tari Matah Ati semasa dipentaskan di Esplanade, Singapura pada 2010. -- Foto PT Global 3L

Matah Ati mengangkat kisah seorang gadis kampung bernama Rubiyah yang menarik perhatian seorang bangsawan istana, Raden Mas Said. Mereka jatuh cinta dan berkahwin serta bersama-sama menyertai perang melawan Belanda. Daripada perkahwinan mereka, lahirlah susur galur Istana Mangkunegaran.

Lakon tari sepanjang 90 minit memaparkan budaya dan tradisi Istana Mangkunegaran melalui tarian klasik dan tembang Jawa.


Cabaran

"Cabaran terbesar kami ialah bagaimana mempersembahkan sebuah produksi yang mengetengahkan apresiasi budaya, memberi makna dan pada masa sama menarik untuk ditonton," katanya.

Lakon tari itu diberikan sentuhan moden oleh penata artistik, Jay Subiyakto yang sebelum ini terlibat dalam teater muzikal Laskar Pelangi.

Ini adalah kali pertama sebuah persembahan teater dengan skala besar dari Indonesia dibawa ke Malaysia. Matah Ati dipersembahkan di Kuala Lumpur oleh ZI Communication Sdn Bhd.

"Matah Ati tidak hanya mengangkat kisah sejarah Jawa tetapi ini adalah sejarah rantau ini. Saya berbesar hati mempersembahkan teater epik ini kepada rakyat Malaysia yang juga berkongsi budaya dengan masyarakat Jawa," kata pengerusi ZI Communication, Datuk Zulkifli Ishak.

Matah Ati pertama kali dipentaskan di Esplanade, Singapura pada Oktober 2010 sebelum dipentaskan semula di Jakarta dan Solo pada 2011 dan 2012.

Atilah tahun lalu mementaskan teater kolosal, Ariah di lapangan dekat Monumen Nasional di tengah-tengah Jakarta, sempena sambutan ulang tahun ke-486 ibu kota Indonesia itu.



____________________________

Matah Ati dipentaskan di Istana Budaya pada 22-25 Mei 2014.
Tiket-tiket berharga RM70, RM120, RM160, RM220 dan RM280 boleh dibeli di www.ezitix.net