Mek Mulung Afrot: Asmidar perkukuh misi pelestarian JKKN

Pementasan Mek Mulung “Afrot” berlangsung pada 9 dan 10 Januari 2026 di Dewan Tuanku Canselor (DTC), Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, UPSI.
WARISAN teater tradisional Mek Mulung kembali mengisi ruang pentas nasional menerusi pementasan Mek Mulung “Afrot”, sebuah produksi berskala besar yang memperlihatkan komitmen berterusan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) bersama Persatuan Penggerak Warisan Seni Budaya Negeri Kedah (AKRAB Kedah) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dalam memperkasa serta melestarikan seni warisan.
Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris berkata, pementasan ini menandakan kesinambungan komitmen negara susulan pengiktirafan Mek Mulung oleh UNESCO sebagai Warisan Budaya Tidak Ketara yang Memerlukan Perlindungan Segera.
Pementasan ini juga, kata beliau, memperlihatkan peranan strategik institusi pengajian tinggi dalam pemindahan ilmu dan pembangunan ekosistem seni tradisi.
Menurut Amran, usaha pemuliharaan Mek Mulung telah digerakkan oleh JKKN secara berstruktur sejak 2003 menerusi Bengkel Mek Mulung yang melibatkan tokoh asal seperti Salleh Embut dan Saad Taib.
Tidak ketinggalan penglibatan tenaga fasilitator daripada Jabatan Seni Persembahan PETRONAS iaitu Roslee Mansur, Mohd Yazid Zakaria dan Noraini Singgin, sekali gus membina asas dokumentasi, latihan dan standard amalan Mek Mulung dalam konteks kontemporari.
Ia kemudian diperkasakan melalui penginstitusian di ASWARA untuk pengajian diploma dan ijazah.
JKKN, katanya, terus mengambil langkah ke hadapan dengan membangunkan skrip baharu bersama AKRAB bagi memastikan kesinambungan tradisi dalam konteks semasa.
“Antara objektif utama JKKN ialah meningkatkan apresiasi seni persembahan tradisional dalam kalangan masyarakat dan pelajar institusi pengajian tinggi, agar seni warisan terus difahami, dihayati dan diamalkan sebagai khazanah budaya hidup,” katanya.
Pementasan “Afrot” turut diserlahkan dengan penglibatan Asmidar yang baru dilantik sebagai Karyawan Tamu UPSI pada 2 Januari 2026.
Asmidar sebelum ini mencuri perhatian melalui persembahan cemerlangnya dalam Muzikal Paduka Cik Siti arahan Che Kem dan kini memanfaatkan pengalaman profesionalnya dalam konteks pendidikan serta pelestarian warisan.
Menurut Asmidar, perlantikan ini membuka ruang untuk menghubungkan dunia akademik dengan realiti industri seni, di mana pelajar bukan sahaja mempelajari teori, tetapi terlibat secara langsung dalam produksi profesional sebagai proses pembelajaran berasaskan pengalaman.
Asmidar mengakui, pengalamannya terlibat dalam pementasan Mek Mulung “Dewa Kaca” pada 2009, menjadi titik tolak yang menumbuhkan keterikatan mendalam terhadap bentuk persembahan tradisional tersebut.
Pengalaman itu bukan sekadar memperkenalkan beliau kepada struktur estetik Mek Mulung, malah membuka kesedaran tentang kekuatan disiplin tubuh, vokal dan spiritual yang menjadi teras seni persembahan warisan.
Hubungan Asmidar dengan Mek Mulung terus berkembang apabila beliau telah dilantik sebagai tenaga pengajar Mek Mulung di ASWARA pada 2021 hingga 2023 dan aktif mementaskan karya-karya seperti Putera Cahaya Bulan, Puteri Dua Belas Beradik dan Dewa Kaca sebagai medium latihan dan pemindahan ilmu kepada para pelajar.

Asmidar mengakui, pengalamannya terlibat dalam pementasan Mek Mulung “Dewa Kaca” pada 2009, menjadi titik tolak yang menumbuhkan keterikatan mendalam terhadap bentuk persembahan tradisional tersebut.
Pendekatan ini memperlihatkan komitmen Asmidar terhadap kelangsungan tradisi bukan sekadar sebagai warisan yang dipamerkan, tetapi sebagai sistem ilmu yang perlu dipelajari, dihayati dan dipraktikkan.
Dari segi naratif, “Afrot” mengangkat kisah hasrat dan impian seorang raja untuk mendapatkan pewaris takhta, yang akhirnya membawa kepada kelahiran Putera Afrot hasil perkahwinannya dengan seorang gadis kampung bernama Bongsu lakonan Asmidar.
Perjalanan Putera Afrot yang sarat konflik, tipu daya kuasa dan pengorbanan membentuk teras dramatik karya ini, sekali gus menyingkap makna keberanian, kesetiaan dan tuntutan keadilan.
Pementasan ini tidak sekadar menghidupkan mitos dan legenda, tetapi membingkaikannya sebagai refleksi tentang tanggungjawab moral, kebenaran dan harga sebuah perjuangan merupakan tema yang relevan dalam konteks masyarakat kontemporari.
Pementasan Mek Mulung “Afrot” berlangsung pada 9 dan 10 Januari 2026 di Dewan Tuanku Canselor (DTC), Kampus Sultan Azlan Shah, Proton City, UPSI.
Orang ramai dijemput hadir menyaksikan pementasan ini sebagai sokongan terhadap usaha pelestarian warisan budaya negara. Maklumat lanjut boleh diperoleh melalui media sosial JKKN di www.facebook.com/mysenibudaya.
* Zahari Hamzah ialah pengkritik dan pemerhati teater Malaysia yang aktif menulis tentang seni persembahan dan seni visual.
Beliau pernah menulis dan mengarah beberapa muzikal serta dramatari di Dewan Filharmonik PETRONAS, antaranya Muzikal Pap Pandir, Demang Lebar Daun, Awang Sulung Merah Muda, Hanuman dan Puteri Intan Baiduri.
Juga pernah terlibat sebagai pelakon dan tenaga produksi teater tradisional Mak Yong dan Mek Mulung. Beliau merupakan graduan Sarjana Pengajian Seni dari UPSI.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


