KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini diberitahu bahawa tiada sebarang pemberitahuan rasmi diterima berhubung kedudukan Ketua Pembangkang, susulan pemecatan Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Ia sekali gus menyaksikan Hamzah masih kekal berperanan sebagai Ketua Pembangkang, setakat ini.
Advertisement
Mengesahkan perkara tersebut, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Ramli Mohd Nor berkata Pejabat Speaker masih belum menerima sebarang arahan atau dokumen rasmi berkaitan perkara tersebut.
Menurut beliau, sehingga kini tiada sebarang makluman bertulis dikemukakan bagi membolehkan sebarang keputusan dibuat mengikut peraturan serta prosedur Dewan Rakyat.
"Setakat ini, walaupun perkara ini telah dibangkitkan oleh Yang Berhormat ketika saya mempengerusikan persidangan, ia melibatkan struktur asas Dewan Rakyat iaitu kedudukan Ketua Pembangkang.
"Sehingga kini, saya dan saya percaya seorang lagi Timbalan Speaker juga belum menerima sebarang arahan rasmi berhubung perkara tersebut.
"Malah, saya percaya belum ada sebarang dokumen hitam putih atau usul rasmi yang dikemukakan oleh pihak pembangkang untuk membolehkan keputusan berkenaan diterima.
"Perkara ini memerlukan dokumen bertulis yang jelas bagi memperincikan dan memperjelaskan kedudukan dari sudut perundangan selaras dengan peraturan Dewan Rakyat," katanya, di sini pada Isnin.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, mengenai peranan blok pembangkang susulan krisis yang berlaku dalam kalangan mereka.
Pada Ahad, Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan kedudukan kerusi Ketua Pembangkang akan ditentukan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi PN, akan datang.
Bagaimanapun beliau berkata, Pas mempunyai hak untuk mengambilalih jawatan tersebut berdasarkan kepada jumlah kerusi terbesar dalam Parlimen.