KUALA LUMPUR :Penyanyi dan pemain muzik sape terkemuka, Alena Murang, bakal menghadiahkan sebuah lagi karya buat peminatnya.

Muzik video dan single terbaharu berjudul 'Meno' bakal dilancarkan Jumaat ini.

Meno, menurut gadis kacukan Kelabit-Itali ini, merupakan terjemahan rasa rindu pada kampung halaman yang begitu dekat di hatinya.

Ujarnya, idea dan inspirasi kepada pembikinan muzik video ini datang ketika beliau terkenangkan masa-masa lalu iaitu ketika nenek moyangnya melakukan perjalanan jauh dari kawasan tanah tinggi ke Miri untuk berdagang dan berniaga.

"Pada masa itu, mereka akan menyanyikan 'Belian Meno', dalam bahasa Kenyah (yang bermaksud) kerinduan, memikirkan sesuatu atau seseorang yang tidak ada," katanya.

Berkongsi lanjut, beritahu Alena, mereka terpaksa melalui perjalanan yang panjang dan penuh liku seperti melalui kawasan hutan belantara menggunakan perahu, tidur di rumah panjang dan hutan.

"Sejak kebelakangan ini, saya sering melakukan perjalanan ke luar negara. Saya akan menyanyikan lagu ini di atas pentas, dan memikirkan betapa rindunya saya pada kampung halaman," jelas Alena yang pernah beraksi di pelbagai festival, seperti World Music Festival di Norway dan OzAsia Festival di Australia.

"Saya sekarang menetap di Kuala Lumpur dan sejak tahun lepas, saya tidak dapat pulang ke kampung halaman. Saya tidak menyangka ia akan memberi impak yang besar kepada saya.

"(Sebelum ini) saya pulang ke kampung dua kali setahun untuk bertemu dengan keluarga, kembali ke tempat asal dan dapat melakukan kajian.

"Saya sangat merinduinya dan tidak sabar untuk balik. Tetapi buat masa sekarang, kita semua harus bertahan agar selamat dari virus (COVID-19)," kongsinya.

Meno, karya terbaharu Alena Murang

Tambah Alena, muzik video istimewa ini disunting oleh pembuat filem berbangsa Kelabit yang berpangkalan di Sabah, Candy Yik.

"Suntingan melibatkan visual jalan, kampung, panorama di sepanjang sungai Ulu Baram," katanya. 

Rakaman muzik video ini turut mendapat sokongan daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia, dan menjadi sebahagian daripada projek 'Roads to out heritage' bersama Dayak Cultural Foundation.

Muzik video 'Meno' bakal ditayangkan di akaun YouTube Alena Murang pada Jumaat.