Jari-jemari figura tinggi lampai ini ketika memetik setiap not piano yang berbaris di hadapannya, amat dinanti-nantikan dalam kalangan peminat alunan muzik klasik Eropah.
Bagaikan ada magis dan keistimewaan tersendiri, kemasyhuran pemilik nama Muzaffar Abdullah tatkala beraksi dengan instrumen penuh berprestij ini pastinya akan memukau dan mengagumkan sesiapa sahaja.
Justeru, tidak menghairankanlah apabila aura anak kelahiran Kuantan, Pahang ini semasa mendendangkan irama merdu daripada piano sering kali menjadi pilihan untuk menjayakan pelbagai konsert bertaraf antarabangsa.
Antaranya, Palazzo Gazzoli Terni di Itali, Geneva Madeleine Central Hall (Switzerland), Musici Artis Liege (Belgium) mahupun di Opera City Hall dan Osaka's Philharmonic Hall di Jepun di mana negara matahari terbit ini beliau mempersembahkan muzik karya Sergei Rachmaninoff.
Istimewanya, bakat dan kemahiran pemain piano bertaraf antarabangsa ini tidak hanya begitu dihargai dalam setiap persembahan yang dijayakannya.
Bahkan, permata negara ini diiktiraf di peringkat paling tinggi apabila ditawarkan berkhidmat di antara satu institusi muzik terkemuka, Conservatoire de Noisy-le-Grand di Perancis sebagai tenaga pengajar piano.
MASIH DI HATI
Keputusan beliau menetap di negara yang terkenal dengan menara Eiffel ini telah membantunya mengukuhkan lagi platform dan melebarkan perkembangan sayap bekas pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini di persada dunia.
Jika sebelumnya, beliau asyik berulang-alik menjayakan konsert di Eropah dan Amerika Syarikat, tawaran berkhidmat di Perancis dianggap sebagai peluang berharga yang tidak seharusnya disia-siakannya.
Dan kini, sudah menghampiri satu dekad lamanya Muzaffar menetap dan berkhidmat di sana. Namun, pemuda yang masih kaya dengan kesopanan Melayu ini tidak pernah lupa pulang ke tanah air menabur bakti di negara kelahiran.
Ini, dilakukan dengan tidak lokek berkongsi ilmu kepada anak muda dalam pembelajaran piano. Sesibuk mana sekali pun, beliau pastinya akan mencuri masa menzahirkan rasa cinta dan semangat patriotisme kepada negara melalui pendekatan itu.
Maka, tidak menghairankanlah apabila Muzaffar masih sudi menerima jemputan menjayakan 'Master Class' dengan pelajar Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara).
Biarpun ketika itu, beliau sedang bercuti selama dua minggu di sini. Tidak berasa terganggu, malah sangat komited untuk berkongsi segala pengalaman dan pengetahuan yang ada dengan anak muda.
"Menetap lama di luar negara, tetapi jiwa saya tetap kepada Malaysia. (Bahkan) Saya dikenali sebagai pemain piano Malaysia dan tidak pernah mengaku rakyat Perancis walaupun sudah tinggal lama di sana," katanya kepada Bernama.
BERTUAH
Muzaffar, memulakan kerjaya sebagai pemain piano bertaraf antabarangsa sebaik menamatkan pengajian di institusi pendidikan muzik terkemuka, Ecole Normal de Musique Alfred Cortot dan European Conservatory of Paris.
Sangat berbakat dan pernah menerima biasiswa daripada kerajaan Perancis dan Japan-ASEAN, pemuda ini boleh dikira sangat bertuah kerana berpeluang mendapat tunjuk ajar daripada individu yang bukan calang-calang orangnya dalam dunia seni ini.
Antaranya Pierre Sancan, seorang komposer, pemain piano, guru, konduktor terhebat di Perancis pada pertengahan abad kedua puluh. Beliau juga belajar daripada Germaine Mounier dan pemain piano dari Ukraine, Irina Zaritskaya.
Dengan pengalaman yang ada serta ilmu berharga daripada individu-individu hebat ini, Muzaffar tidak mahu mempraktikkannya seorang diri.
Tetapi, mempunyai matlamat besar untuk mencurahkan ilmu kepada mereka yang lain supaya dapat memberi inspirasi kepada anak muda untuk maju dalam karier sebagai pemain piano.
TIDAK LOKEK
Justeru, pengalaman lebih 30 tahun dalam instrumen penuh berprestij ini membuatkan beliau begitu tangkas mengesan mana-mana not muzik yang salah dimainkan.
Tanpa perlu melihat langsung nota muzik, segala alunan daripada petikan piano itu bagaikan sudah amat sebati dengan diri pemuda ini.
Berkarakter sedikit tegas ketika pengajaran, beliau yang agak 'low profile' penampilannya ini ikhlas dan sabar melayan setiap soalan pelajar serta tidak sedikit pun kisah untuk tidak berhenti waktu makan.
Segala tumpuan diberikan, dari sudut kedudukan tangan dan lenggokan gaya badan antara penekanan dititikberatkan oleh beliau, yang juga pengasas 'International Piano Festival' di negara ini.
"Bersiap sedialah dan jangan tunjukkan ia satu kesilapan," katanya kepada seorang pelajar yang secara drastik terus menekan not-not piano di hadapannya.
Aspek penafasan yang betul, kesungguhan dan ketekunan perlu ada dalam diri setiap pemain piano sekiranya ingin berjaya. Mengaitkan itu dengan zaman kecilnya, beliau berkata hari-harinya diisi dengan latihan piano berjam-jam lamanya.
Biarpun pernah dimarahi ibu bapa kerana terlalu asyik bermain piano sehingga tidak menyiapkan kerja sekolah, itu tidak mematahkan semangatnya untuk menjadikan pemain piano sebagai kerjaya.
KENA BETUL-BETUL
"Saya memang sangat meminati piano dan sudah menetapkan matlamat menjadi concert pianist dan course pianist professor. Saya tidak mahu sekadar jadi cikgu piano.
"Ini yang membuatkan saya bersungguh-sungguh bermain piano setiap hari dengan sepenuh hati," katanya yang juga aktif memberi 'master class' di Thailand, Singapura, Jerman dan Belgium.
Bagaimanapun, beliau yang telah merangkul banyak anugerah di Perancis, Itali dan Amerika Syarikat berasa sedikit 'kecewa' dengan sikap sesetengah anak muda yang tidak mempunyai kesungguhan menerokai ilmu.
Tidak hanya berlaku di sini, tetapi juga pelajar piano di Eropah turut tidak terkecuali.
"Semuanya jenis tidak sabar dan main piano hendak cepat sahaja. Ia mengambil masa yang lama untuk menghafal 'pieces'. Dan untuk itu, mereka harus sabar dan rajin buat latihan jika benar mereka cintakan muzik.
"Kebanyakan mereka tidak menghafal 'pieces' dan memainkan piano sambil membaca nota muzik. Sepatutnya bukan macam ini, mereka kena lancar dan ingat semua not muzik," katanya.
Sedangkan, beliau sendiri masih konsisten berlatih piano dan menambah ilmu bagi memantapkan lagi kemahirannya biarpun sudah lama dalam industri ini.
Terutama sekali, apabila memerlukannya membuat persembahan orkestra atau apa-apa sahaja kerana beliau membawa nama dan maruah negara.
NASIHAT
"Walaupun sudah banyak kali membuat persembahan, rasa gementar masih ada. Dan ini adalah cabaran amat besar bagi seseorang pemain piano. Tekanannya tinggi kerana takut terlupa not-not muzik.
"Rasa gugup ini akan sentiasa ada. Tetapi, inilah kelebihan latihan dan disiplin yang tinggi. Saya menghafal segala not sesuatu lagu, muzik itu melalui latihan jari secara perlahan-perlahan. Ini, sangat membantu," katanya.
Selain latihan berterusan, mereka perlu memahami makna di sebalik sesebuah karya muzik itu melalui pembacaan dengan mengenali komposer, sejarah dan budaya di sebaliknya.
Ini, membantu mereka supaya dapat mempersembahkan alunan merdu muzik klasik dengan penuh penghayatan, katanya mengakhiri temubual tengah hari itu.
Bernama
Tue Mar 17 2015
Wawancara bersama pemain piano terkenal dunia yang berasal dari Malaysia, Muzaffar Abdullah.
Banjir kilat: SK Nanga Budu ditutup selepas air naik ke paras dada
Kawasan yang terlibat adalah bangunan dewan sekolah serta bangunan bagi prasekolah.
Final Jelajah Dunia BWF: Lee Zii Jia siap sedia hadapi cabaran sebenar bertemu tuan rumah
"Semua pemain di sini adalah pilihan terbaik tatkala mahu merangkul kejuaraan. Saya berpuas hati dengan tahap prestasi saya setakat ini." - Zii Jia
Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS
Ringgit dibuka tidak berubah berbanding dolar AS dalam dagangan awal hari ini walaupun walaupun indeks dolar AS (DXY) lebih tinggi.
AWANI Pagi: Satira dan Parodi: Batas kebebasan di bawah RUU 588
Diskusi 8.30 pagi Jumaat Isnin bersama Profesor Datuk Dr. Azizul Halim Yahya,Profesor Komunikasi, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA, UiTM membincangkan mengenai batas dan had kebebasan di bawah RUU 588 berhubung isu satira dan parodi yang kontroversi baru-baru ini.
Buaya di Teluk Batik: Perhilitan nasihat orang awam berwaspada
Perhilitan Perak terus memantau persekitaran Pantai Teluk Batik susulan penampakan kehadiran seekor buaya di kawasan itu semalam.
Polis tembak mati lelaki miliki 24 kes rekod jenayah di Jeram Pasu
Suspek berusia 31 tahun merupakan warga tempatan maut dalam kejadian sekitar jam 5.30 pagi tadi.
NAIO disaran bentuk konsortium perkasa tenaga kerja AI tempatan
Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) perlu membentuk satu konsortium antara institut pengajian tinggi (IPT), industri teknologi dan kerajaan dalam memperkasa tenaga kerja tempatan dalam AI.
Sejauh mana gelombang pergolakan pasaran akan berlaku?
Bersama Ketua MIDF Research, Imran Yassin Md Yusof berkongsian penilaian terhadap prospek ekonomi negara di tengah-tengah cabaran global dan domestik.
Misteri 'fenomena UFO' undang resah
Rangkaian media melaporkan insiden itu turut mencetuskan pelbagai spekulasi dan teori konspirasi di platform media sosial.
Panduan Belanjawanku 2024/2025: Panduan nilai pendapatan cukup untuk hidup
Hafidzi Razali, Pengasas & Ketua Pegawai Eksekutif Strategic Counsel, membincangkan Panduan Belanjawanku 2024/2025 dan Rangka Kerja Kecukupan Pendapatan Persaraan (RIA) untuk membantu rakyat Malaysia merancang kewangan dengan lebih baik.
Muzaffar, pemain piano antarabangsa yang membanggakan Malaysia
Wawancara bersama pemain piano terkenal dunia yang berasal dari Malaysia, Muzaffar Abdullah.