Dengan persaingan sengit dari empat filem hebat di rantau Asia, kemenangan filem Terbaik Dari Langit di Festival Filem Antarabangsa ASEAN 2015 (AIFFA 2015) adalah sesuatu yang tidak dijangka oleh pengarahnya, Nik Amir Nik Mustapha.

Nik Amir, 30, ketika dihubungi Astro AWANI berkata beliau tidak mengharapkan apa-apa kemenangan, apatah lagi apabila hanya menerima khabar pencalonan filemnya itu pada saat akhir.

"Saya dapat tahu tercalon pun pada saat-saat akhir, dan itupun sudah cukup besar pengiktirafannya buat saya.

“Apabila 'Terbaik Dari Langit' dipilih juri sebagai Filem Terbaik AIFFA 2015, ia memang sesuatu yang di luar jangkaan. Saya bersyukur kepada Allah dengan kemenangan ini,” katanya.

Walaupun tidak merangkul gelaran Pengarah Terbaik pada malam tersebut, Nik Amir akur dengan keputusan juri yang baginya lebih arif menilai.

“Mungkin juri ada sebab tersendiri mengapa memilih Joseph Laban iaitu pengarah filem Nuwebe dari Filipina untuk menang anugerah Pengarah Terbaik. Itu sebenarnya hak juri dalam membuat penilaian siapa lebih berhak menang,” kata Nik Amir yang sedang dalam perancangan mencari ilham membikin filem terbaru.

Nik Amir turut memberitahu, selepas ini filem Terbaik Dari Langit bakal ditayangkan di Festival Filem Asia Tenggara di Singapura

Selain filem Terbaik Dari Langit, filem pertama arahannya, KIL turut tercalon dalam dua kategori di AIFFA 2015.


bront palarae.
Bront Palarae membuat ucapan ketika diumumkan Pelakon Lelaki Terbaik di AIFFA 2015 - Foto www.aiffa2015.com

"Terbaik Dari Langit" adalah antara filem yang mendominasi pencalonan AIFFA 2015 kali ini apabila tersenarai dalam tujuh daripada sembilan kategori yang dipertandingkan.

Filem ini turut bersaing sengit dengan "Bendor" (Filipina) arahan sutradara Ralston G Jover yang turut tercalon dalam tujuh kategori.

Manakala pemenang Pelakon Lelaki Terbaik AIFFA 2015, Bront Palarae berkata kemenangan ini bagai sebuah saguhati buat mengisi kegersangan anugerah antarabangsa buat filem tempatan.

Seperti Nik Amir, Bront, 36, turut tidak menyangka akan dipilih juri sebagai pemenang dan menganggap kekuatan kelima-lima watak membuatkan filem "Terbaik Dari Langit" diiktiraf juri AIFFA 2015.

“Saya tak tahu nak cakap apa ketika diumumkan pemenang. Saya mengagak kemenangan akan berpihak kepada Ario Bayu (Soekarno). Namun saya percaya, filem ini dipilih kerana kekuatannya yang terletak di atas kebersamaan semua watak yang dibawakan jelas.

“Selain itu, kemenangan ini juga saya anggap sebagai hadiah buat merawat kegersangan anugerah antarabangsa kepada filem tempatan,” kata Bront.

Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin turut mendedikasikan kejayaannya itu kepada pelakon lagenda negara Allahyarham Datuk Aziz Sattar kerana filem "Terbaik Dari Langit" merupakan lakonan terakhir Allahyarham.

Dalam perkembangan terbaru, bekas Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke -23 menerusi filem "Belukar" ini sedang dalam pengambaran filem "Ola Bola" arahan Chiu Keng Guan dan bakal muncul dengan filem-filem baharu iaitu "Jwanita", "Hanyut" dan "Gilfriend Kontrak."

AIFFA 2015 yang bertujuan memberi pengiktirafan buat pembikin filem di rantau Asia telah bersiaran secara langsung dari di Borneo Convention Centre Kuching, Sarawak pada 11 April.

LIHAT SENARAI PEMENANG DI SINI