Namun begitu, bilangan ahli kumpulan itu bagi festival tersebut tidak cukup kerana salah satu ahli kumpulan, Minhyun, ketika itu menyertai kumpulan K-Pop, Wanna One. Oleh itu, NU’EST dipromosikan sebagai NU'EST W semasa ketiadaan Minhyun.
Sudah tentu dengan kembalinya Minhyun ke NU’EST, konsert mereka yang diadakan di Stadium Malawati pada Sabtu adalah sesuatu yang amat dinanti-nantikan oleh fandomnya L.O.Λ.E.
Kehadiran kumpulan yang ditubuhkan pada 2012 itu ke Malaysia adalah sempena konsert SEGNO 2019.
Terdiri daripada lima anggota iaitu Aron, Minhyun, JR, Ren, dan Baekho, kumpulan Korea Selatan itu memulakan konsert dengan lagu yang bersesuaian bagi pertemuan dengan L.O.Λ.E, yang berjudul 'Hello'.
Selepas 'Hello', NU'EST mendendangkan lagu 'Love Paint' dan 'Overcome'.
Kumpulan itu kemudian melakukan persembahan untuk lagu terbaru mereka, 'Bet Bet'. Lagu tersebut yang mempunyai hampir 16 juta tontonan di Youtube menampilkan koreografi yang mengagumkan dan paling mencabar berbanding lagu mereka sebelum ini.
Pada ‘ment’ (masa yang diperuntukkan untuk penyanyi memperkenalkan diri, bercakap dengan peminat dan menutup konsert), NU’EST meluangkan masa untuk mengalu-alukan penonton sambil menggunakan beberapa frasa Melayu yang tentunya menghiburkan hati semua yang berada di dalam stadium itu.
Dibantu oleh sorakan yang tidak terputus daripada L.O.Λ.E., kumpulan itu tidak membuang masa untuk memberi persembahan yang hebat dari segi vokal serta koreografi menerusi lagu-lagu seperti 'I’m Bad', 'R.L.T.L.', 'Action', dan 'Beautiful Ghost'.
Sepanjang konsert, NU’EST jelas kelihatan cukup selesa berinteraksi dengan penonton, sempat melambai kepada L.O.Λ.E. dan memberi 'fingerhearts' kepada mereka.
Kemudian, tiba masanya bagi setiap ahli kumpulan mempersembahkan solo mereka yang jelas telah memikat hati L.O.Λ.E.
Balada yang didendangkan Baekho, 'Thankful For You' mempunyai susunan piano yang begitu indah melodinya dan ringkas, menyerlahkan falsetto lembut vokalis utama kumpulan tersebut.
Minhyun kemudiannya memberi persembahan yang mempesonakan dengan 'Universe', sebuah lagu yang katanya, merupajan mesej peribadinya kepada L.O.Λ.E. supaya mereka sentiasa gembira dan bahagia.
Bagi persembahan solo Aron pula, versi jazz bagi lagu 'Good Love' memaparkan dia menawan penonton dengan suara lunaknya walaupun hanya duduk di kerusi sepanjang persembahan menggunakan mikrofon.
Ren mengambil peluang untuk menunjukkan sisi sensualnya ketika persembahan solo, 'Paradise' yang menampilkan set yang begitu menakjubkan dengan tirai yang seolah-olah turun dari siling, katil hampir sebesar pentas dan rutin tarian yang melibatkan kain putih terikat pada badannya.
Bagi persembahan solo yang terakhir, ketua kumpulan Korea Selatan itu, JR memberi persembahan yang penuh bertenaga untuk lagu berirama rock, 'I Hate You'. Melalui persembahan itu, JR dapat menyerlahkan kemahirannya yang mengagumkan sebagai penari utama kumpulan tersebut.
Selepas mempersembahkan 25 lagu dengan begitu bertenaga dalam tempoh dua jam, NU’EST mengucapkan selamat tinggal kepada L.O.Λ.E. Malaysia.
Sebelum melabuhkan tirai, mereka berjanji akan kembali ke Malaysia dan berdasarkan sorakan kuat sebagai respon, L.O.Λ.E. Malaysia tidak sabar untuk bersua dengan idola mereka lagi.
Sebelum ini, Aron telah berkata mungkin akan mengadakan persembahan di Malaysia bagi konsert mereka ketika festival muzik K-Wave 2 pada 2017.
Kali terakhir NU’EST datang ke Malaysia dengan lima-lima ahli kumpulan adalah pada 2012 untuk pameran 'NU'EST: The Face to Face In Malaysia' di Sunway.
Konsert Segno 2019 melibatkan enam lokasi lain iaitu Bangkok, Hong Kong, Jakarta, Singapore, Manila, dan Taipei.