Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin (KJ) menarik perhatian khalayak apabila tampil sebagai pelakon dalam satu video pendek mengenai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Dalam video berdurasi 5 minit 36 saat itu, ia memaparkan kisah perbualan antara suami dan isteri iaitu watak Aishah dan Harris yang digambarkan berlaku di Gombak pada 8 Mei 2018, jam 5.35 petang iaitu tarikh sehari sebelum PRU14 diadakan.

KJ membawa watak seorang suami yang mempunyai perasaan berbelah bagi mengundi parti politik yang akan dipilih sebagai kerajaan pemerintah.

Meskipun ia hanya melibatkan perbualan suami isteri di satu taman permainan, KJ sebaliknya menunjukkan penghayatan yang baik dan menjiwai pada wataknya itu yang turut beremosi.


Harris juga digambarkan seorang suami yang romantik memanggil gelaran sayang pada isterinya.

Malah, KJ juga menyelitkan aksi komedi dalam dialognya ketika bergurau dengan isterinya mengenai Azlan, lelaki yang cuba merampas isterinya dulu.

Watak Aishah pula yang dijayakan Vanidah sememangnya tidak perlu dipertikaikan. Malah, lakonannya dengan KJ menampakkan keserasian antara mereka dan mampu memberikan impak pada penonton.

Video tersebut boleh ditonton di YouTube dengan judul Selamat Mengundi MALAYSIA!!

Teks oleh: Elrafaei Sapi