Hasrat mahu mementaskan teater OlaBola The Musical (OBM) di hadapan Perdana Menteri, Tun Dr.Mahathir Mohamad, mungkin akan menjadi kenyataan buat pengarah serta penerbitnya, Puan Sri Tiara Jacquelina.

Persembahan paling laris di Istana Budaya bagi tahun 2018 itu kembali buat kali kedua di lokasi yang sama, bermula 18 Februari ini.

Kata Tiara, niat itu mula dipasang sewaktu perjumpaan dengan Dr. Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sewaktu sesi dialog dan minum petang bersama penggiat seni pada Julai tahun lalu.

"Tun Siti Hasmah beritahu saya, beliau tidak berkesempatan menonton ketika ia dipentaskan sebelum ini.

"Kebetulan ketika itu, Datuk Juhari (Datuk Mohamed Juhari Shaarani), Ketua Pengarah Istana Budaya, juga ada bersama. Jadi kami berpendapat idea mementaskan OBM untuk musim kedua perlu direalisasikan.

"Memang kami berharap Tun Mahathir dan Tun Siti dapat meluangkan masa menonton pementasan nanti," kata Tiara.

Sebahagian daripada teraju utama OlaBola The Musical 2 yang akan dipentaskan bermula 18 Feb di Istana Budaya.

Menjanjikan persembahan yang lebih mantap daripada musim pertama, OBM kali ini turut mengetengahkan beberapa muka baharu antaranya Tony Eusoff sebagai Coach Harry Mountain, Hafeez Mikail sebagai Eric Yong dan Nabila Huda yang akan membuat beberapa kemunculan istimewa.

"Kita tak akan pentaskan perkara yang sama. Sudah tentu ada kelainan dan jika anda merasakan OBM musim pertama itu hebat, kali ini ia akan lebih luar biasa," janji Tiara.

Tiara ditemui pada sidang media OlaBola Musical musim kedua di Istana Budaya, pada Selasa.

OBM musim ini terus mengekalkan Brian Chan sebagai 'Tauke' Chow Kwok Keong, Abimanyu Masilamani (Muthu), Luqman Hafidz (Ali) dan Lim Jian Wen (Ong Tiam Chai).

Ia diadaptasi daripada filem pecah panggung 2016 arahan Chiu Keng Guan, dan kali pertama dipersembahkan sebagai teater muzikal pada 2018.

OlaBola The Musical 2 akan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya, dari 18 Februari hingga 3 Mac ini.

Tiket-tiket akan boleh mula didapati di buytickets.asia bermula 18 Januari ini.