BARU-baru ini, papan tanda “Beyond” yang dipacakkan di hadapan pintu kampus Astro Malaysia Holdings Berhad, Bukit Jalil, hilang secara tiba-tiba.

Perkara itu menimbulkan pelbagai tanda tanya dalam kalangan kakitangan Astro dan orang ramai.

Dimanakah perginya papan tanda itu?

Mengapa ia hilang secara tiba-tiba?

Dah dicuri ke?

Dalam pada itu, perkara sama turut berlaku kepada logo program MeleTOP, Astro Ultra Box dalam buletin Astro AWANI dan bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam program Borak Borak Botak yang hilang semasa siaran, baru-baru ini.

Ia disusuli pula dengan kejadian telur emas Cleopatra yang lesap pada papan iklan di Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) dan di sepanjang Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban berhampiran Plaza Tol Sungai Besi.

Di samping itu, selebriti memasak terkenal, Chef Wan juga mengalami perkara sama apabila telur-telur yang akan digunakan untuk rancangan memasaknya hilang secara tiba-tiba.

Telur emas Cleopatra yang hilang pada pada papan iklan di Lebuhraya Kuala Lumpur - Seremban. - Gambar fail

Red Notice

Ini menerbitkan kemusykilan orang ramai dan ia bertambah pelik apabila semua barangan ikonik yang hilang itu digantikan oleh kad panggilan “Red Notice” yang menandakan barangan tersebut sudah dicuri.

Setelah disiasat, rupa-rupanya kejadian ini adalah aktiviti daripada kempen promosi Red Notice, iaitu sebuah filem blockbuster terbaharu di Netflix yang akan ditayangkan pada 12 November ini.

Filem ini merupakan filem aksi mendebarkan yang mengisahkan permainan kucing dan tikus yang bergaya (dan kucing).

Apabila interpol mengeluarkan Red Notice - waran peringkat tertinggi untuk memburu dan menangkap orang yang paling dikehendaki di dunia - pemprofil Dwayne Johnson, diutuskan untuk mengetuai kes ini. 

Pemburuan globalnya mendapati dia terperangkap di tengah-tengah rompakan yang paling berani di mana dia terpaksa bekerjasama dengan pencuri seni terhebat dunia, iaitu Nolan Booth (Ryan Reynolds) untuk menangkap pencuri seni yang paling dikehendaki di dunia, iaitu "The Bishop" (Gal Gadot). 

Pengembaraan hebat yang seterusnya membawa trio ini ke seluruh dunia, melintasi lantai tarian, terperangkap dalam penjara terpencil, ke dalam hutan dan yang paling buruk bagi mereka, terus menerus berbalah antara satu sama lain.

Filem ini juga disertai oleh Ritu Arya dan Chris Diamantopoulos. Diarahkan dan ditulis oleh Rawson Marshall Thurber (Central Intelligence , Skyscraper) dan diterbitkan oleh Hiram Garcia, Dwayne Johnson dan Dany Garcia dari Seven Bucks Productions, Beau Flynn's Flynn Picture Co dan Thurber's Bad Version, Inc.,.

Sementara itu, satu sumber memaklumkan Astro AWANI bahawa sesuatu bakal berlaku di Pavilion, Kuala Lumpur pada 12 November ini bagi membongkar segala misteri kehilangan yang berlaku.