PELAKON Korea Selatan, Song Yoo-jung, yang terkenal menerusi siri Make Your Wish, ditemui meninggal dunia pada Sabtu.

Berita itu disahkan oleh pengurusannya, Sublime. Punca kematian bagaimanapun tidak dinyatakan.

Upacara pengebumian telah dijalankan pada tengah hari Isnin di Gangnam.

Song, 26, memulakan kariernya sebagai model jenama kosmetik sebelum beralih ke bidang lakonan pada tahun 2013.

Selain Make Your Wish, Song juga dikenali menerusi lakonan dalam School 2017 dan Dear My Name.

Song menandatangani kontrak bersama Sublime pada tahun 2019, yang juga mewakili ramai bintang lain seperti pelakon Parasite, Song Kang-ho dan penyanyi Jung Ji-hoon (atau Rain), sebagai persiapan dalam langkah seterusnya dalam bidang seni.

Beberapa laporan berita di Korea menyatakan bahawa Song membunuh diri, tetapi sehingga kini belum dapat dipastikan.

Jika laporan itu benar, Song menyertai senarai panjang bintang muda Korea Selatan yang membunuh diri dalam beberapa tahun kebelakangan ini, termasuk bintang K-pop Sulli dan Goo Hara.

Orang ramai di negara ini dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.