PELAKON Hersha Parady yang memegang watak sebagai Alice Garvey iaitu, guru Sekolah Walnut Grove dalam tiga musim siri Little House on the Prairie meninggal dunia pada Rabu.

Portal hiburan The Hollywood Reporter melaporkan, mendiang berusia 78 tahun.

Menurut anaknya, Jonathan Peverall, ibunya menghembuskan nafas terakhir di Norfolk, Virginia, selepas menghidap tumor otak.

Parady dan bekas bintang NFL, Merlin Olsen diperkenalkan sebagai suami isteri, Alice dan Jonathan Garvey dalam episod pembukaan musim empat Little House on the Prairie yang diilhamkan oleh Michael Landon, iaitu episod "Castoffs," pada September 1977.

Mendiang Parady dilahirkan sebagai Betty Sandhoff pada 25 Mei 1945, di Berea, Ohio.

Dalam temu bual pada tahun 1975 dengan Cleveland Plain Dealer, Parady berkata, beliau sudah ditakdirkan untuk menjadi seorang pelakon.

"Saya merupakan seorang kanak-kanak yang sentiasa hidup dalam dunia yang tidak nyata," katanya.

"Walaupun saya masih kecil, saya lebih suka berimaginasi daripada bermain dengan anak patung."

Pelakon itu menamatkan pengajian di Berea High School pada tahun 1963 sebelum berlakon di Cleveland Play House dan kemudian berhijrah ke Los Angeles.

Penghijarahan itu membuka peluang kepadanya melakonkan watak sebagai Stella bersama Jon Voight dalam produksi A Streetcar Named Desire.

Beliau hampir mendapat peranan Caroline Ingalls dalam Little House sebelum Karen Grassle dipilih, tetapi Parady membuat penampilan pertamanya dalam siri tersebut dalam musim ketiga pada tahun 1976 sebagai Eliza Ingalls iaitu ipar Charles Ingalls yang dilakonkan oleh Landon.

Mendiang Parady akhirnya memegang watak sebagai Alice dalam 35 episod siri popular itu.

Selepas Little House, Parady juga membintangi filem Raw Courage (1984) dan The Break (1995) selain terlibat dalam siri seperti Unsolved Mysteries, Second Noah dan Kenan & Kel.

Parady berkahwin dengan penerbit filem John Peverall iaitu penerima Anugerah Oscars pada 1979 untuk filem The Deer Hunter dan mereka dikurniakan seorang anak lelaki. - Agensi