PELAKON Amerika Syarikat (AS), Paul Reubens, yang masyhur dengan watak Pee-wee Herman sekitar tahun 1980-an meninggal dunia pada usia 70 tahun pada Ahad lalu akibat kanser.

"Paul dengan berani melawan kanser selama bertahun-tahun dengan penuh cekal," kata kenyataan yang dikeluarkan oleh warisnya pada Isnin.

Watak ikonik Herman lakonan mendiang Reubens menjadi batu loncatan untuk mendiang meraih banyak peluang membintangi banyak drama televisyen selain filem.

Bagaimanapun, reputasinya sebagai pelakon tercemar setelah dia ditangkap atas tuduhan berkelakuan tidak senonoh pada tahun 1991 di sebuah pawagam.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan secara anumerta di akaun Instagramnya, pelakon itu berkongsi pengalamannya melalui ujian kesakitan tanpa pengetahuan orang lain.

"Saya berharap anda semua menerima permohonan maaf saya kerana tidak mendedahkan apa yang saya hadapi dalam enam tahun terakhir," kata kenyataan tersebut.

"Saya sentiasa merasakan begitu banyak kasih sayang dan penghormatan diterima daripada rakan-rakan, peminat dan penyokong. Saya amat mencintai anda semua dan sangat-sangat menikmati peluang menghasilkan karya untuk anda semua."

Waris Reubens turut berkata, sepanjang bergelar anak seni, mendiang merupakan "pelakon, pelawak, penulis dan penerbit karakter ikonik Pee-wee Herman yang dikasihi telah menggembirakan generasi kanak-kanak dan orang dewasa dengan sikap positifnya, keanehan dan keyakinannya terhadap kepentingan kebaikan".

"Sebagai seorang bakat yang berbakat dan produktif, dia akan selamanya tinggal dalam gelanggang komedi dan dalam hati kita sebagai seorang sahabat yang dihargai dan seorang lelaki dengan watak dan semangat yang luar biasa," ujar kenyataan tersebut.

Watak Pee-wee diilhamkan Reubens ketika beliau menjadi sebahagian daripada kumpulan pemikir Los Angeles, The Groundlings.

Beliau membintangi filem Pee-wee's Big Adventure pada tahun 1985 dan siri TV Pee-wee's Playhouse yang diterbitkan sejak tahun 1986 hingga 1991.

Melalui siri yang diilhamkannya selain menghasilkan skrip dan mengarah pernah meraih 22 Anugerah Emmy.

Pada tahun 1991, beliau ditangkap di sebuah pawagam filem dewasa di Sarasota, Florida, atas tuduhan berkelakuan tidak senonoh.

Tuduhan terhadapnya bagaimanapun, dibatalkan, namun kejadian itu telah mencemarkan reputasinya.

Pada tahun 2016, beliau kembali menulis dan membintangi filem Pee-wee's Big Holiday untuk Netflix.
Itu merupakan lakonan terakhirnya sebelum beliau menghembuskan nafas terakhir.

Pelawak Steve Martin dan Jimmy Kimmel termasuk dalam kalangan selebriti yang berkongsi rasa sedih dengan pemergian Reubens.

Kimmel menyifatkannya sebagai "pelawak yang sangat bijak serta seorang pelakon komedi tulen yang membuatkan kanak-kanak dan ibu bapa ketawa pada masa yang sama".

Martin pula mengucapkan terima kasih kepadanya atas "komedi bijaksana" yang dihasilkan mendiang Reubens sepanjang hayatnya. - Agensi