PELAWAK popular India, Raju Srivastava meninggal dunia pagi ini pada usia 58 tahun.

Memetik laporan media antarabangsa, pada 10 Ogos lalu Raju dimasukkan ke Institut Sains Perubatan All India (AIIMS), Delhi akibat serangan jantung.

Mendiang yang dilahirkan di Kanpur, Uttar Pradesh mengalami sakit dada dan rebah ketika sedang bersenam di gimnasium.

Selepas dimasukkan ke AIIMS, Raju yang mula menceburi industri hiburan pada 1980-an telah menerima rawatan angioplasti.

Angioplasti
adalah prosedur yang  digunakan untuk membuka saluran darah atau arteri jantung yang sempit atau tersumbat.

Bagaimanapun, tahap kesihatannya tidak menunjukkan sebarang perubahan sehingga mendiang dilapor mengalami mati otak.

Sementara itu, Perdana Menteri India, Narendra Modi dalam hantaran di laman Twitter turut menzahirkan ucapan takziah atas pemergian pelawak itu.

"Raju Srivastava menceriakan hidup kita dengan gelak tawa, jenaka dan perkara positif.

"Dia meninggalkan kita terlalu cepat tetapi dia akan terus hidup di dalam hati. Pemergiannya sungguh menyedihkan. Takziah kepada keluarga dan para peminat," katanya dalam entri tersebut, hari ini.


Ketika kecil, Raju terkenal kerana gemar meniru gaya bintang filem.

Kebolehannya yang luar biasa meniru bintang Bollywood, Amitabh Bachchan terkenal dalam dunia komedi Hindi.

Raju mula menyertai dunia komedi pada tahun 1980-an apabila menerusi saluran televisyen kerajaan, TV Doordarshan.

Sketsa komedi pertama Raju ialah Hasna Mana Hai (Laughter is Banned) telah muncul dalam bentuk audio kaset.

Raju meninggalkan seorang balu, Shikha Srivastava dan dua cahaya mata.