BINTANG terkemuka, Mariah Carey sebelum ini sering bercerita tentang bagaimana dia menulis lagu hitnya, All I Want For Christmas Is You menggunakan keyboard Casio miliknya semasa dia masih kecil, tetapi penerbit dan penulis bersamanya mendakwa sebaliknya.

Malah, dia dengan berani mendakwa Carey "tidak memahami muzik".

Walter Afanasieff mendedahkan perkara itu dalam sesi podcast Hot Takes & Deep Dives with Jess Rothschild, di mana dia mendedahkan bagaimana dia dan Carey, 52, mencipta lagu itu selepas berkolaborasi dalam album Music Box.

Afanasieff berkata mereka berdua tahu asal-usul lagu tersebut namun terkejut apabila wujud 'cerita lain' tentang penghasilan lagu berkenaan beberapa tahun lalu.

Carey memberitahu Billboard pada 2017 bahawa dia mencipta lagu itu ketika dia masih kecil.

"Saya bangga dengan lagu ini yang saya tulis semasa saya masih kecil, menggunakan keyboard Casio saya," katanya.

Walau bagaimanapun, Afanasieff, 64, kini tampil mendakwa bahawa pemenang lima Anugerah Grammy itu sebenarnya tidak mempunyai pengetahuan muzik.

“Dia tidak bermain apa-apa alat muzik, dia tidak bermain keyboard atau piano. Dia tidak faham muzik, dia tidak tahu tentang perubahan chord, teori muzik dan sebagainya.

"Apabila dia mendakwa menulis lagu yang mempunyai struktur chord yang sangat rumit, hanya menggunakan keyboard Casio semasa dia masih kecil, ia seolah-olah dia sedang berangan sendiri.

"Saya belajar muzik, saya mempunyai ijazah dalam muzik. Saya seorang pengarah muzik orkestra dan penggubah lagu. Saya mengajar muzik. Saya bukan orang bodoh. Saya bukan play by ear," kata Afanasieff.

Afanasieff berkata, dia dan Carey mencipta lagu itu bersama-sama ketika sedang menyiapkan tiga lagu untuk album Krismas Carey, Merry Christmas.

Kata Afanasieff, penyanyi itu bertanggungjawab ke atas melodi dan lirik manakala Afanasieff menyiapkan gubahan muzik dan chord.

Setakat ini Carey belum memberi sebarang respon berhubung dakwaan Afanasieff.

Afanasieff dan Carey sama-sama dikreditkan sebagai penulis lagu Krismas paling popular itu, tanpa penulis atau penerbit lain.

Mereka pernah beberapa kali bekerjasama, termasuk untuk album Emotions dan Music Box.