HIBURAN
Penyanyi J-Pop, Kenshin Kamimura didapati bersalah lakukan serangan seksual

Kamimura telah membayar harga yang besar atas perbuatannya, termasuk dipecat serta-merta oleh syarikat pengurusan dan dipaksa meninggalkan kumpulan muziknya, One N’ Only. - Gambar fail Reuters
HONG KONG: Penyanyi J-pop, Kenshin Kamimura, 26, didapati bersalah oleh mahkamah Hong Kong pada Rabu atas kesalahan melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita yang bertugas sebagai penterjemahnya ketika acara bersama peminat pada Mac lalu.
Bekas anggota kumpulan One N’ Only itu didenda HK$15,000 (RM8,000) selepas Majistret Peter Yu memutuskan tingkah lakunya menunjukkan “ketiadaan rasa hormat terhadap wanita” dengan sentuhan yang membawa maksud seksual.
“Tingkah laku sebegini wajar dikecam,” kata Yu sambil menjatuhkan hukuman denda selepas peguambela Kamimura memohon hukuman kewangan dan bukannya penjara.
Kamimura sebelum ini mengaku tidak bersalah pada April dan memilih untuk tidak memberi keterangan semasa perbicaraan pada Julai.Semasa mendengar keputusan, Kamimura dilihat memeluk penterjemah mahkamahnya, manakala beberapa peminat menangis di galeri awam.
Puluhan lagi peminatnya menunggu di luar ketika Kamimura meninggalkan pekarangan mahkamah tanpa memberi sebarang kenyataan.
Mangsa, yang dikenali sebagai X, memberi keterangan dia diupah oleh Kamimura dan pelakon Junsei Motojima sebagai penterjemah untuk majlis bertemu peminat di Hong Kong pada 1 Mac.
Selepas acara, mereka menghadiri majlis makan malam di sebuah restoran di daerah Mong Kok.
Menurut X, Kamimura berpindah duduk di sebelahnya dan mula menyentuh serta menepuk pahanya berulang kali, sebelum mencadangkan mereka ke bilik air bersama.
Kamimura bertanya sama ada dia faham maksudnya, dalam bahasa Cina dan Jepun.
X berkata, dia menolak cadangan itu dan menjawab: “Kalau awak mahu pergi, pergilah sendiri.”
X kemudiannya beralih untuk mengambil teh, namun Kamimura menghalang laluan dan sekali lagi mengajaknya keluar.
Selepas menolak, X kembali ke tempat duduk diikuti Kamimura yang kembali duduk di sebelahnya.
Serentak itu, Kamimura meminta maaf dan berkata: “Lupakan apa yang baru berlaku,” sebelum bertanya tentang status hubungan peribadinya.
X memberitahu mahkamah, Kamimura sekali lagi menyentuh pahanya dan mengulangi perbuatan itu dua hingga tiga kali meskipun dia cuba mengelak.
Peguam Kamimura berhujah bahawa anak guamnya tidak berniat memaksa atau mengugut mangsa dan pengaruh alkohol mungkin menjejaskan pertimbangannya.
Majistret Yu berkata, Kamimura telah membayar harga yang besar atas perbuatannya, termasuk dipecat serta-merta oleh syarikat pengurusan dan dipaksa meninggalkan kumpulan muziknya. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami