LOS ANGELES: Penyanyi rap terkenal kelahiran Amerika Syarikat (AS), Coolio dilapor meninggal dunia pada usia 59 tahun.

Memetik laporan CNN, Coolio yang terkenal dengan lagu "Gangsta's Paradise" ditemui tidak sedarkan diri bilik mandi ketika berada di kediaman rakannya.

Berita ini disahkan pengurusnya, Jarez Posey.

Punca sebenar kematian Coolio masih belum didedahkan, namun ia mungkin berkait rapat dengan serangan jantung, kata Posey.

Coolio atau nama sebenarnya Artis Leon Ivey Jr pernah memenangi anugerah Grammy menerusi lagu "Gangsta's Paradise" yang merupakan sebahagian daripada runut bunyi untuk filem "Dangerous Minds" lakonan Michelle Pfeiffer.

Coolio memulakan karier nyanyian pada era 80 an dan kedudukannya sebagai penyanyi rap terus kukuh selepas rakaman lagu hit "Gangsta's Paradise" pada tahun 1995.

Sepanjang kariernya selama empat dekad, Coolio telah merakam lapan album studio dan memenangi Anugerah Muzik Amerika (AMA) dan tiga Anugerah Muzik Video MTV.