Aktiviti amal untuk membantu mereka yang memerlukan terutama kanak-kanak perlu dilakukan secara berterusan agar nasib golongan berkenaan terus terbela.

Usaha seperti mengumpul dana dan derma tidak boleh terhenti begitu sahaja kerana setiap masa jumlah mereka yang menderita akibat bencana dan peperangan sentiasa bertambah.

Penaung program Permata negara, Datin Seri Rosmah Mansor berharap dengan adanya sumbangan berterusan daripada masyarakat dan sektor korporat lebih banyak nyawa kanak-kanak di seluruh dunia dapat diselamatkan.

"Jika wujudnya keperluan perbelanjaan untuk kanak-kanak di Malaysia, khususnya kanak-kanak yang hidup dalam serba kekurangan dan menghadapi pelbagai penyakit kronik, kita mampu member sinar kebahagian melalui tabung ini,” kata Rosmah.

Isteri Perdana Menteri berkata demikian pada konsert permata seni 2013 di Istana Budaya Kuala Lumpur Selasa malam.

Konsert yang dijayakan 160 anak-anak dari Permata seni tari muzik dan koir dianjurkan bagi mengutip dana bagi membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

Lebih RM21.7 juta berjaya dikumpulkan untuk tabung kesejahteraan kanak-kanak sedunia.

Konsert diserikan dengan kehadiran Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah Hamidun yang sudi mencemar duli menyaksikan persembahan berkenaan.