Tanggungjawab sosial Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) terhadap kebajikan golongan artis tidak pernah terhenti sejak persatuan itu diasaskan hampir dua dekad lalu.

Sudah pelbagai usaha dilakukan persatuan berkenaan bagi membantu dan meringankan beban ahli-ahlinya yang terdiri daripada penggiat-penggiat seni.

Dalam usaha menampung sumbangan kepada golongan yang memerlukan, Karyawan sentiasa tidak putus menganjurkan pelbagai majlis atau aktiviti semata-mata untuk memastikan dana persatuan itu tidak putus.

Terbaharu, Karyawan akan mengadakan majlis makan malam amal pada 14 Januari depan di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur.

Presidennya, Datuk Freddie Fernandez berkata, penganjuran majlis makan malam amal ini bertujuan mengutip dana yang bakal digunakan bagi menampung kos operasi serta tabung kebajikan persatuan.

Dianjurkan oleh Karyawan dan Yayasan Budi, majlis berkenaan akan dijayakan barisan artis tersohor tanah air seperti juara Gegar Vaganza 5, Noryn Aziz bersama-sama artis legenda Datin Paduka Julie Sudiro, Datuk Yusni Hamid, Salimah Mahmood, Rozita Rohaizad dan A. Rozaini.

Majlis yang diberi nama Malam Budi Bersama Bintang itu, kata Freddie, memerlukan sokongan dan tajaan daripada mana-mana pihak yang berhasrat untuk melakukan kebajikan.

Ini kerana, jelas beliau, Karyawan meletakkan sasaran untuk mengumpul RM100,000, yang bakal diagihkan kepada penggiat seni yang memerlukan.

"Itu tujuan utama kita. Dana yang dikutip nanti akan membantu golongan artis yang kurang bernasib baik, seperti yang pernah kami lakukan sebelum ini.

"Sebelum ini kami pernah menganjurkan acara yang sama dan kami berjaya kumpul dana sehingga RM200,000. Jadi saya harap kali ini kami boleh kumpul lebih lagi," katanya kepada Astro Awani ketika dihubungi.

Pihak-pihak yang berminat dipelawa membeli meja-meja berharga RM10,000, RM5,000, RM3,000, RM2,000 serta tiket perseorangan berharga RM250 dengan menghubungi tiga talian yang disediakan di 012 2071400 / 01128596452 atau talian pejabat 03 2092 5517.

"Saya amat berbesar hati jika mendapat sokongan daripada mereka yang mahu bekerjasama dengan Karyawan dan Yayasan Budi bagi menjayakan majlis makan malam ini," kata Freddie lagi.