Ringkasan AI
- Celine Dion kembali ke pentas selepas empat tahun, membuat persembahan di perasmian Sukan Olimpik Paris dari Menara Eiffel, menyanyikan lagu -Hymne lamour- oleh Edith Piaf.
- Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau memuji penampilan Dion, menyatakan kegembiraan melihat Dion kembali menyanyi dan menganggap persembahan itu sebagai kenangan manis untuk para peminatnya.
- Dion meluahkan rasa gembira di Instagram atas kepulangannya ke pentas dan memberi sokongan kepada para atlet, sementara mengakui dia menghidap gangguan neurologi, Stiff Person Syndrome, sejak 2022.
Ini merupakan kemunculan pentas pertama penyanyi kelahiran Kanada berketurunan Perancis itu selepas empat tahun, susulan masalah kesihatan yang dialaminya.
Persembahan Dion dari Menara Eiffel mencuri perhatian, malah penonton dilihat tidak dapat menahan sebak menyaksikan ratu lagu balada itu menyampaikan sebuah lagu dendangan asal penyanyi Perancis, Edith Piaf, berjudul “Hymne à l’amour”.
Penampilannya turut mendapat pujian Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau, yang menyifatkannya persembahan itu sebagai kenangan manis untuk para peminatnya.
"Dia adalah ikon Kanada, bakat yang luar biasa, dan dia berjaya mengatasi banyak dugaan untuk berada di sana malam ini.
"Celine, saya gembira melihat anda kembali menyanyi," tulis Trudeau di X.
Di Instagram, Dion meluahkan rasa gembiranya dapat kembali ke pentas, serta mengucapkan selamat berjaya buat atlet terlibat.
"Saya berbesar hati dapat menjayakan persembahan pembukaan malam ini, dan gembira dapat kembali ke bandaraya kegemaran saya.
"Paling penting, saya gembira dapat bersama atlet terhebat dunia, yang hadir ke sini dengan seribu satu kisah pengorbanan, kekuatan dan ketabahan. Berbanggalah, kerana anda sudah berusaha dengan begitu keras," tulisnya.
Dion mempunyai kumpulan peminat yang sangat ramai di Perancis. Album bahasa Perancis Dion yang diterbitkan pada 1995, D'eux, adalah album berbahasa Perancis terlaris sepanjang zaman.
Dion, 56 tahun, disahkan menghidap gangguan neurologi, Stiff Person Syndrome, pada 2022.
Penampilan kali ini merupakan kemunculan kedua Dion di Sukan Olimpik.
Kali pertama dia muncul membuat persembahan ialah pada majlis perasmian Sukan Olimpik Atlanta pada tahun 1996.