Pergolakan politik negara menyebabkan kumpulan muzik tempatan Preety Ugly mencipta lagu berjudul “No.1” dengan misi mengajak seluruh rakyat Malaysia bersatu padu tanpa mengira fahaman dan politik masing-masing.

Lagu perpaduan tersebut diilhamkan menerusi pengalaman hidup rakan vokalis Preety Ugly, Neves.

“Lagu ini dicipta khas untuk menyuntik semangat cintakan tanah air tanpa mengira bangsa, agama dan kepercayaan politik memandangkan kini masyarakat semakin berpecah belah akibat kehadiran pilihan raya,” kata penyanyi utama kumpulan terbabit.

Tambahnya, pengisian lagu ini dikupas dari salah satu pengalaman hidupnya dimana seorang kawan karibnya disisih keluarga akibat menyokong parti politik berlainan daripada seisi keluarga.

“Saya mengharap semoga lagu ini mampu membawa kelainan yang tersendiri disamping menyatupadukan masyarakat terutamanya pada saat yang getir ini iaitu musim pilihan raya,” katanya dengan penuh harapan.

Bermula rakaman pada tahun 2012, keluaran lagu ini dikatakan bertepatan dengan musim Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13).

Lagu kolaborasi bersama Altimet ini akan dimuatnaik di laman Youtube dan iTunes bermula Mei.