SUDAH lebih seminggu drama siri premium "Projek: High Council" terbitan Astro Shaw di bawah jenama Astro Original melabuhkan tirai bagi tayangan episod finalenya.

Mencetus fenomena dan kekal trending di pelbagai platform media sosial, drama arahan Anwari Ashraf yang mendapat pujian daripada ramai pihak dan peminat itu berjaya meledakkan nuansa baharu kepada landskap industri seni tanah air.

Siri "Projek: High Council" yang turut memecah rekod sebagai drama terbaik dalam saluran Astro Original bukan sahaja menambat hati peminat tempatan, malah di peringkat Asia Tenggara seperti Indonesia, Singapura dan Brunei.

Malah, hasil perkongsian video di platform TikTok menerusi #ProjekHighCouncil keseluruhannya berjaya mencatatkan lebih 1 bilion tontonan (views) sejak Januari lalu.


Isu buli dalam kalangan pelajar sekolah di Malaysia adalah sesuatu yang sangat signifikan dan terdapat pelbagai bentuk buli yang wujud termasuk secara fizikal, lisan, sosial, mahupun medium siber.

Menurut laporan diterbitkan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), pada tahun 2015, sebanyak 80 peratus pelajar sekolah di Malaysia berdepan masalah buli sehingga memberi kesan trauma serius kepada mangsa.

Trauma yang terpaksa dihadapi termasuk kebimbangan (anxiety), kemurungan, tiada keyakinan diri, bahkan ada kes sehingga mangsa membunuh diri akibat terlalu tertekan.

Bagaimanapun, kini di bawah pemerintahan Kerajaan Perpaduan, Kementerian Pendidikan (KPM) sedang memperincikan syor oleh Jawatankuasa Anti Gangguan Seksual dan Anti Buli bagi mendapatkan penyelesaian terbaik dalam menangani isu gangguan seksual serta buli dalam kalangan pelajar sekolah.

"Projek: High Council" mendedahkan segala kebenaran terhadap isu buli di sekolah.

Ikuti perkongsian pengarah dan penggerak "Projek: High Council", Anwari Ashraf serta pelakon Fazziq Muqris mengenai isu buli, mesej yang ingin disampaikan dan cabaran dalam menjayakan drama fenomena tersebut.

Pantau Kerajaan Baharu: High Council papar realiti masalah buli di sekolah

"Projek: High Council" mempaparkan realiti sebenar masalah buli di sekolah. Setiap episod menampilkan konflik, suspens dan keterujaan yang tersendiri.

Selain mempersembahkan jalan cerita yang berbeza, siri tersebut mengetengahkan sisi berbeza bakat-bakat baharu.

Ini sekali gus membuktikan sesebuah karya mampu memikat hati penonton melalui bakat dan bukan jumlah ‘followers’ semata-mata.