Pelakon Puteri Sarah Liyana meluahkan rasa berang apabila mengetahui bekas menantu kepada pelakon senior Kazar Saisi yang dikenali sebagai Wiwie Darvienda Mazweena masih ‘menyalak’ di Instagram.

Didakwa masih menjaja kisah dirinya, Sarah menegaskan wanita terbabit sepatutnya bersyukur apabila dia membuat keputusan menarik saman terhadap bekas madu, Ira Kazar dan dua ahli keluarganya.

“Pagi-pagi bangun ramai netizen yang kongsi dengan saya. Sejenis manusia bila dah elok semua diselesaikan, dah tarik saman masih nak menyalak.

“Saya sudah selesai dengan Shamsul, dah elok (hubungan) dan kami gembira dengan kehidupan sendiri. Dan awak entah dari mana bercakap tentang kami? Meroyan dekat close friends kau?

“Dah tarik saman dah cukup baik, kau patut bersyukur tetapi tidak! Masih nak menjaja cerita. Tak tau nak publisiti ke apa,” kata Sarah menerusi laman Instastory miliknya pada Jumaat.

Pada perkongsian yang sama, pemilik nama Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin ini memaklumkan dia mahu mengambil tindakan undang-undang malah akan membuat laporan kepada majikan Wiwie.

Pada 14 Jun lalu, kemelut rumah tangga pengarah sensasi, Syamsul Yusof, 39, dan Puteri Sarah akhirnya menemui titik noktah apabila disahkan bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Pada Jun tahun lalu, Puteri Sarah memfailkan satu tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap Ira Kazar yang didakwa kekasih Syamsul ketika itu.

Mahkamah kemudian mengeluarkan perintah injunksi inter-parte bagi kedua-dua belah pihak yang antara lainnya menyatakan Ira atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengan Ira untuk tidak menjejaskan ketenteraman dan kedamaian Puteri Sarah serta keluarganya, keluarga mentuanya termasuk suaminya, Syamsul.

Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.

Artikel asal ini diterbitkan di portal Gempak