AKTOR Remy Ishak akui dia telah menurunkan berat badannya sebanyak 7 kilogram demi memenuhi wataknya sebagai Othman di dalam filem Pulang.

Remy Ishak berkata dia mengurangkan pengambilan makanan setiap hari dan juga bersenam untuk menurunkan berat badannya dari 76kg ke 69kg.

“Watak Othman menuntut saya untuk nampak lebih kurus.

“Sebagai nelayan di dalam filem itu sepatutnya saya perlu menurunkan lebih banyak berat badan supaya kelihatan lebih susut.

“Namun saya mempunyai masa yang agak singkat. Jadi sebelum dan semasa penggambaran saya mampu menurunkan berat sebanyak itu sahaja.

“Sebelum penggambaran itu saya telah banyak mengurangkan makan serta banyak bersenam,” katanya kepada Astro Gempak.

Filem yang bakal menjengah pawagam bermula 26 Julai itu, menjalani penggambaran selama 45 hari.

Mengulas mengenai cabaran menjalani penggambaran filem arahan Kabir Bhatia itu, Remy akui dia mengalami sedikit tekanan.

“Proses menurunkan berat badannya sebenarnya berlanjutan sehingga penggambaran itu dijalankan.

“Selain mengurangkan makan, saya juga agak tertekan membawakan watak Othman ditambah pula dengan harapan pengarahnya yang mahu saya tampil berbeza.

“Selain itu, saya boleh katakan penggambaran ini juga memenatkan kerana banyak babak aksi yang memerlukan tenaga yang banyak,” katanya lagi.

Pulang yang mengambil latar era 1940-an hingga 2010 membariskan pelakon lain seperti Puteri Aishah, Datuk Jalaludin Hassan, Juliana Evans dan Azrel Ismail.

Teks oleh: Syafiqah Jalal