KUALA LUMPUR: Kumpulan R&B terkenal, Ruffedge bakal menggegarkan konsert jelajah berskala besar, Ruffera ‘That Moment In Time’ bermula Jun hingga Ogos depan.

Bakal membawakan lagu-lagu hits antaranya Bila Rindu, Khayalan, Lemas dan beberapa lagu menerusi album terbaharu, Ruffedge menjanjikan persembahan yang bakal diingati penonton.

Anggota kumpulan Ruffedge, Azan memaklumkan persiapan sedang giat dilakukan memandangkan konsert bakal berlangsung tidak lama lagi.

“Sebagai anggota berkumpulan, menjadi rutin kami untuk berkumpul dan berlatih bersama.

“Bagi kami ini penting untuk mengekalkan chemistry untuk elak rasa ‘off’ terutama ketika berada di pentas. Jadi sebagai ahli kumpulan, rutin ini normal basis,” katanya ketika ditemui di sidang media konsert Ruffera ‘That Moment In Time’ di Pusat Kreatif Kanak-Kanak Tunku Bainun, Taman Tun Dr Ismail pada Rabu.

Tambah Azan, dia bersama anggota lain termasuk Cat, Mode, Sein dan Zain memohon doa peminat agar mereka diberi kesihatan sempurna menjelang konsert.

“Kalau konsery big scale kita tak boleh rasa selesa, kita tetap akan buat latihan sebaik mungkin. Doakan kita sihat sebelum konsert.

“Latihan giat dilakukan di studio demi memberikan kepuasan maksimal untuk peminat yang hadir nanti,” katanya.

Lebih istimewa, konsert jelajah ini bakal memulakan persembahan di Singapura pada 10 Jun depan.

Tiket konsert jelajah berdurasi dua jam yang dibawakan oleh YOLO Malaysia akan mula dijual bermula 20 April ini.

Maklumat lanjut boleh diperolehi di laman sosial YOLO Malaysia dan Ruffedge atau yoloasia.com.