Sah! BTS jelajah ke KL, bakal pukau 200,000 ARMY

Kumpulan Astro menerusi rangkaian Astro Audio dilantik sebagai radio rasmi jelajah ini di Malaysia. - Foto REUTERS
KUALA LUMPUR: Kumpulan fenomena K-pop, BTS, akhirnya mengumumkan rancangan rasmi untuk BTS World Tour 2026–2027.
Pengumuman itu dibuat melalui Weverse, platform komuniti peminat rasmi HYBE.
Menurut pengumuman rasmi, jelajah kali ini akan menjadi yang terbesar dalam sejarah BTS.
Sebanyak 79 persembahan akan diadakan merentasi 34 lokasi di Asia, Amerika Utara, Eropah, Amerika Latin dan Australia.
Format baharu ini turut menampilkan reka bentuk pentas 360 darjah, memberikan pengalaman imersif yang meletakkan peminat di pusat persembahan, selain meningkatkan kapasiti penonton di setiap lokasi.
Jelajah akan bermula pada April 2026 dengan tiga konsert pembukaan di Goyang, Korea Selatan pada 9, 11 dan 12 April.
Antara hentian awal yang diumumkan termasuk Tokyo, Hong Kong, Tampa, El Paso, Mexico City, Stanford dan Las Vegas. Lebih banyak bandar dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

Malaysia sekali lagi membuktikan kedudukannya dalam peta hiburan global apabila Kuala Lumpur disahkan sebagai salah satu hentian rasmi.
Malah, mereka akan mengubat rindu 11 tahun peminat di Malaysia dengan persembahan memukau selama dua yang dijadualkan berlangsung pada 12 dan 13 Disember 2026.
Kumpulan Astro menerusi rangkaian Astro Audio dilantik sebagai radio rasmi jelajah ini di Malaysia.
Setakat ini, lokasi konsert di Kuala Lumpur, harga tiket dan tarikh jualan masih belum diumumkan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


