TIADA kejayaan tanpa doa dan restu seorang ibu.

Tan Sri Michelle Yeoh yang mencipta sejarah sebagai pelakon Asia pertama memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Akademi, tidak berlengah untuk berkongsi kegembiraan dengan wanita terpenting dalam hidupnya.

Menerusi video yang dikongsi wartawan Channel News Asia (CNA) di Twitter, Michelle menghubungi ibunya, Datin Janet Yeoh, menerusi panggilan video sejurus diumumkan pemenang.

Biarpun audio daripada perbualan itu tidak jelas kedengaran, namun dapat dilihat Michelle menunjukkan trofi gangsa bersalut emas 24 karat itu kepada ibu, ahli keluarga dan rakan-rakan yang nyata tidak dapat menahan rasa teruja mereka.


Kesemua mereka berada di majlis live viewing Anugerah Akademi di Pavilion, pada Isnin.

Turut serta hadir dalam majlis itu ialah Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri serta kira-kira 100 selebriti tempatan.

Terdahulu di awal majlis, Janet memberitahu media dia teruja dan mendoakan yang terbaik untuk anak perempuannya, malah sempat melaungkan "Malaysia Boleh".

Seperti yang diramalkan, Michelle melakar sejarah paling gemilang dalam kerjaya seninya apabila ditabalkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik pada acara Anugerah Akademi ke-95 (Oscars 2023) sebentar tadi.

Pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu merangkul anugerah berkenaan menerusi lakonannya dalam filem "Everything Everywhere All at Once".