SIAPA yang tidak kenal kumpulan thrash metal terkemuka di era 80- dan 90-an dari Jerman, Kreator yang pernah menguasai pentas genre itu satu ketika dahulu.

Percaya atau tidak, mereka akan berada di Kuala Lumpur awal tahun depan bagi menjayakan konsert yang bakal diadakan selepas hampir 19 tahun tidak menjejakkan kaki ke negara ini.

Konsert anjuran Rockstage Entertainment dengan kerjasama Lampuneon itu sesuatu yang istimewa buat peminat muzik thrash di negara ini memandangkan bukan mudah untuk menjemput ikon thrash itu ke Malaysia.

“Legenda thrash metal dari Jerman disahkan akan melakukan konsert mereka di Malaysia selepas kali pertama dan terakhir mereka beraksi di Backroom (sebelum ini Federal Cinema), Chow Kit, Kuala Lumpur pada 25 September 2005.

“Persembahan ini merupakan sebahagian daripada tour bagi mempromosikan album baharu mereka 'Hate Über Alles',” kata Pengarah Rockstage Entertaiment, Talib Othman.

Konsert yang dijadualkan berlangsung 25 Januari 2024 di Zepp Kuala Lumpur itu jelasnya akan membawa semua peminat mereka menelusuri nostalgia bersama lagu-lagu lama dan baharu.

Jelas Talib, pemilihan Kreator adalah bertepatan kerana mereka merupakan ikon kumpulan-kumpulan thrash metal yang agak awal bertapak di negara ini pada lewat 80-an dan mempunyai peminatnya yang tersendiri.

“InsyaAllah, kami sedaya upaya memberikan ‘keselesaan’ buat peminat yang hadir apatah lagi ia dibuat di lokasi yang cukup strategik di samping pelbagai fasiliti yang lengkap untuk  keselesaan semua.

Kreator dibarisi vokalis dan juga pemain gitar Miland 'Mille' Petrozza, pemain dram Jürgen 'Ventor' Reil, pemain gitar Sami Yli-Sirniö, dan pemain bass Frédéric Leclercq.

Digelar sebagai satu daripada ‘Teutonic Big Four’ iaitu empat band thrash ikonik dari Jerman bersama Destruction, Sodom dan Tankard, Kreator tidak pernah takut untuk mencuba kelainan dalam muzik mereka walaupun amat dikenali dalam muzik thrash.

Selain thrash dan speed metal, mereka pernah bereksperimentasi dengan gothic dan industrial, tetapi muzik mereka sentiasa kekal berat.

Semua itu boleh dilihat dan terbukti dalam album-album mereka bermula dengan 'Endless Pain' (1985) dan 'Pleasure to Kill' (1986) yang memuatkan riff gitar yang laju dan pukulan dram yang keras serta berat dan lirik bertemakan politik.

Muzik mereka kemudian menjadi lebih bermelodi dalam album seperti 'Extreme Aggression' (1989) dan 'Coma of Souls' (1990).

Kreator juga membuat kejutan apabila bereksperimen dengan pengaruh industrial dan gothic dalam album seperti 'Renewal' (1992) dan 'Outcast' (1997) sebelum kembali ke akar muzik lama mereka dengan 'Violent Revolution' (2001) dan 'Hordes of Chaos' (2009).

Sehingga kini, Kreator telah mengeluarkan 15 album studio, dua album mini atau EP, dua album live dan tiga album kompilasi.

Setakat ini, semuanya telah terjual lebih dua juta unit di seluruh dunia sekali gus menjadikan mereka kumpulan thrash metal Jerman terlaris sepanjang masa.

Selepas beberapa dekad, kumpulan thrash veteran ini telah menemukan cara untuk terus mengekalkan status mereka di hadapan, termasuk menyesuaikan diri dengan peminat masa kini tanpa perlu tersasar daripada akar umbi muzik mereka.

Legasi mereka diteruskan dengan penghasilan album baharu, melakukan jerayawara di seluruh dunia termasuk dalam konsert besar dan bertemu peminat setia mereka di mana sahaja.

“Kreator meraikan empat dekad dominasi thrash pada tahun 2022 dengan album studio ke-15 mereka 'Hate Über Alles' sebelum melakukan siri jelajah besar-besaran ke seluruh dunia, mengukuhkan lagi Kreator sebagai satu 'kuasa' utama yang berdaya tahan dalam sejarah metal,” kata Talib.

Ini merupakan sebagai sebahagian daripada jelajah tour ke seluruh dunia yang mempromosikan 'Hate Über Alles'.

Terdapat empat kategori tiket yang akan dijual sama ada dibeli secara online atau di pintu masuk pada hari konsert berlangsung.

Harga bagi tiket yang dibeli secara dalam talian untuk kategori VIP Box berharga RM750. Tiket VIP Box hanya dijual secara dalam talian sahaja.

Sementara itu, tiket yang dibeli secara dalam talian untuk kategori CAT 1 iaitu free standing (RM330), kategori CAT 2 iaitu premium seats (RM380), manakala kategori CAT 3 iaitu normal seats (RM350).

Bagi tiket yang dibeli di pintu masuk pada hari konsert berlangsung, kategori CAT 1 iaitu free standing (RM380), kategori CAT 2 iaitu premium seats (RM430), manakala kategori CAT 3 iaitu normal seats (RM400).

Tiket-tiket boleh dibeli secara online dengan melayari www.myticketempire.com dan jualannya akan dibuka dalam masa terdekat.