Skip to main content

Malaysia

Jangan guna gelaran untuk kepentingan peribadi, peluang perniagaan - Sultan Nazrin

Sultan Nazrin bertitah, rasuah dan salah guna kuasa serta sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan keraguan serta mencemarkan nama baik takhta dan istana juga perlu dijauhi. - Bernama
Sultan Nazrin bertitah, rasuah dan salah guna kuasa serta sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan keraguan serta mencemarkan nama baik takhta dan istana juga perlu dijauhi. - Bernama

Advertisement

KUALA KANGSAR: Sultan Perak Sultan Nazrin Shah mengingatkan Ahli Dewan Negara negeri Perak dan pembesar istana supaya tidak sekali-kali menggunakan nama raja, pengaruh istana atau gelaran disandang untuk mendapatkan keuntungan peribadi, mencari laba dan peluang perniagaan.

Sultan Nazrin juga menitahkan mereka supaya mengelak daripada diperalatkan untuk membantu pihak tertentu secara tidak wajar, meragukan atau menekan sesiapa.

Baginda bertitah rasuah dan salah guna kuasa serta sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan keraguan serta mencemarkan nama baik takhta dan istana juga perlu dijauhi.

“Jangan benarkan kedudukan dijadikan alat untuk meminta keistimewaan, mengumpulkan kekayaan atau mencampuri urusan yang bukan dalam bidang tanggungjawab,” titah Sultan Nazrin pada Mesyuarat Dewan Negara Perak ke-175 di Istana Iskandariah di sini hari ini.

Sultan Nazrin bertitah Ahli Dewan Negara serta pembesar istana juga perlu sentiasa berwaspada dan bijak menggunakan saluran media sosial dan tidak menyebarkan maklumat yang belum sahih kebenarannya.

“Ahli Dewan Negara dan pembesar istana hendaklah berhati-hati dalam pertuturan dan tindakan. Perkara yang diamanahkan sebagai rahsia hendaklah dipelihara. Maklumat yang belum dipastikan kesahihannya jangan disebarkan.

“Sesuatu pandangan hendaklah disampaikan dengan tertib, tanpa membuka ruang kepada fitnah dan persengketaan. Dalam dunia hari ini, sepatah kata atau satu rakaman yang disebarkan melalui media sosial boleh menimbulkan pelbagai tafsiran,” titah baginda.

Baginda turut bertitah Ahli Dewan Negara dan pembesar istana perlu menjauhi pertelingkahan, perebutan pengaruh dan budaya berpuak-puak serta sentiasa dekat dengan rakyat. 

Selain itu, Sultan Nazrin bertitah keluhan rakyat perlu disantuni dan mereka tidak seharusnya berasa takut atau terhalang daripada mengadu masalah terutama golongan yang memerlukan, iaitu warga emas, orang kurang upaya, anak yatim, keluarga berhadapan kesempitan hidup dan mereka yang terpinggir. 

“Pelihara hubungan baik dengan semua lapisan masyarakat. Negeri ini didiami oleh rakyat pelbagai kaum, agama dan latar belakang. Hormati kepelbagaian itu dan bekerja untuk memperkukuh perpaduan, selaras dengan Perlembagaan serta undang-undang,” titah baginda.

Sultan Nazrin bertitah Ahli Dewan Negara dan pembesar istana perlu menghormati batas kuasa dan tanggungjawab serta bekerjasama dengan kerajaan dan institusi negeri secara profesional tanpa mencampuri urusan pentadbiran atau menggunakan kedudukan untuk kepentingan politik kepartian. 

Baginda bertitah golongan itu juga perlu sentiasa menambah ilmu dan memperkemas cara bekerja, menguasai pengetahuan berkaitan tugas, memahami perubahan dalam masyarakat dan memanfaatkan teknologi secara berhemah.

Selain itu, Sultan Nazrin menitipkan pesanan kepada setiap pembesar supaya menjadi teladan kepada keluarga, pegawai, petugas dan masyarakat. 

“Buktikan bahawa orang yang dekat dengan raja juga dekat dengan tanggungjawab, orang yang diberi penghormatan juga tahu menghormati orang lain,” titah baginda.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement