Skip to main content

Malaysia

Sabah sedia platform belia gubal dasar, pembangunan negeri

Hajiji berkata, golongan belia bukan sahaja pemimpin masa hadapan malah menjadi penggerak ekonomi serta ejen perubahan penting dalam usaha menjayakan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ). - Bernama
Hajiji berkata, golongan belia bukan sahaja pemimpin masa hadapan malah menjadi penggerak ekonomi serta ejen perubahan penting dalam usaha menjayakan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ). - Bernama

Advertisement

TUARAN: Kerajaan Negeri Sabah memperkasakan penglibatan belia dalam penggubalan dasar pembangunan menerusi platform Pemikir Muda Ketua Menteri dan Dewan Belia Sabah, yang memberikan ruang kepada golongan itu menyuarakan pandangan mengenai hala tuju negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata golongan belia bukan sahaja pemimpin masa hadapan malah menjadi penggerak ekonomi serta ejen perubahan penting dalam usaha menjayakan aspirasi Pelan Pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ).

“Golongan belia adalah aset penting dalam menentukan hala tuju dan masa depan Sabah. Justeru, Pemikir Muda Ketua Menteri menyediakan ruang kepada belia Sabah terlibat secara langsung dalam proses penggubalan dasar serta polisi pembangunan negeri.

“Dewan Belia Sabah pula platform penyatuan dan perwakilan belia untuk membincangkan isu serta hala tuju anak muda menerusi format pelaksanaan baharu di bawah seliaan kementerian berkaitan,” katanya pada Karnival Tamu Belia Tuaran 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata sebanyak RM98.06 juta telah diperuntukkan kepada Kementerian Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif negeri pada tahun ini bagi memperkasakan belia menerusi pelbagai bantuan, dana serta latihan kemahiran.

Hajiji berkata peruntukan itu turut merangkumi dana pembangunan modal insan, geran persatuan belia, sektor sukan serta usahawan belia menerusi Skim Jaya Usahawan Belia Sabah (SYABAS), selain inisiatif Rumah Mesra SMJ kepada golongan belia yang baharu mendirikan rumah tangga.

Kerajaan negeri turut memperkasakan kemahiran belia menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi memenuhi keperluan industri masa hadapan, serta melahirkan golongan muda yang mampu mencipta peluang pekerjaan.

Mengulas Karnival Tamu Belia Tuaran, beliau berkata program itu membuktikan golongan belia berperanan sebagai pewaris kepemimpinan masyarakat dan negeri, selain menjadi rakan strategik kerajaan dalam memacu pembangunan ekonomi, sosial dan komuniti.

Karnival itu memanfaatkan peranan tamu yang menghubungkan peniaga, pengusaha kecil, petani, penggiat seni dan komuniti setempat, di samping membuka peluang kepada belia untuk berkongsi idea, mengetengahkan bakat, mengembangkan perniagaan dan membina jaringan kerjasama.

“Apabila konsep tamu digabungkan dengan semangat dan kreativiti belia, ruang lebih dinamik dapat diwujudkan untuk aktiviti keusahawanan, kebudayaan, kesukanan, hiburan sihat serta perkongsian ilmu,” katanya.

Hajiji juga mahu karnival berkenaan menjadi medium yang membuka peluang untuk golongan belia memperkenalkan produk tempatan, mengetengahkan bakat seni serta budaya, sekali gus membina keyakinan diri serta memperluas jaringan perniagaan dan komuniti.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement