Pelakon dan pengarah veteran, Manoj Kumar memfailkan saman bernilai USD 18.5 juta terhadap Shah Rukh Khan kerana mendakwa filem “Om Shanti Om” menampilkan babak yang mempersendakannya.

Turut disaman ialah penerbit filem tersebut, Eros International.

Menurut Manoj, dia tidak boleh bertolak ansur kerana perkara itu sudah dipersetujui penerbit sejak enam tahun lalu iaitu menyunting keluar perlakuan mengejek dirinya yang dilakonkan Shah Rukh Khan.

Sementara itu, menurut pengarah filem tersebut, Farah Khan, kemungkinan besar pengedar di Jepun menerima salinan filem yang salah.

Bagaimanapun dia merasakan Manoj perlu memaafkan saja perkara itu sebaliknya berbangga apabila “Om Shanti Om” mendapat sambutan baik di Jepun.

Manoj, 75 tahun, mencipta namanya menerusi beberapa filem bertemakan partiotik pada era 1960an dan 1970an.