HIBURAN
Sheila Majid sambut 40 tahun perjalanan dalam industri dengan lagu ‘Moving On’

Jelas Sheila lagi, selepas pandemik dia menyedari bahawa lagu-lagu lamanya terutama sekali Sinaran kembali dengan nafas baharu. - Gempak
PENYANYI, Datuk Sheila Majid menyambut 40 tahun perjalanannya dalam dunia seni dengan sebuah karya baharu yang cukup berani bertajuk Moving On.
Ringkasan AI
- Sheila Majid raikan 40 tahun kerjaya seni dengan single baharu "Moving On", yang menjadi refleksi perjalanan hidup, penyembuhan jiwa dan semangat untuk terus melangkah ke hadapan.
- Lagu ini menyatukan generasi lama dan muda, dengan mesej keyakinan diri dan kebebasan emosi, serta inspirasi daripada groove era 80-an seperti Donna Summer dan Diana Ross.
- Kolaborasi bersama penerbit Korea Selatan Hyuk Shin menjadikan "Moving On" karya segar dan berani, membuktikan Sheila kekal relevan dan terus menginspirasi dalam dunia muzik tanah air dan antarabangsa.
"Saya tidak kejar trend. Saya mengejar rasa, mengejar jiwa.
“Lagu ini memberikan saya ilham untuk terus berkarya kerana saya saksikan yang dunia kini telah berubah, dan saya pun berubah sama. Tetapi saya tetap kenal dengan diri saya,” ujarnya.
Ramai peminat muda
Jelas Sheila lagi, selepas pandemik dia menyedari bahawa lagu-lagu lamanya terutama sekali Sinaran kembali dengan nafas baharu.
Malah ramai peminat muda mengenali dirinya buat pertama kali dan ini memberi inspirasi kepadanya untuk menulis lirik yang boleh merapatkan dua dunia.
“Lagu ini sarat dengan tenaga yang menusuk hingga ke jiwa yang lebih dalam. la mengajak generasi kita melepaskan beban, memeluk keyakinan dan bergerak mengikut rentak sendiri,” ujarnya.
Penerbit muzik terkenal Korea
Lebih istimewa lagi, Sheila bergabung tenaga dengan penerbit muzik terkenal dari Korea Selatan iaitu Hyuk Shin untuk membina muzik yang segar.
Sheila sendiri yang menyediakan mood board untuk Hyuk Shin, penuh dengan rujukan dari zaman Donna Summer dan Diana Ross.
“Saya memang hidup di generasi 80-an. Groove zaman itu memang sentiasa dekat di hati saya,” ulasnya.
Moving On berkisarkan tentang jiwa, terutamanya buat generasi muda yang masih mencari identiti dan siapa mereka di tengah kesibukan dunia digital.
Untuk info, Sheila Majid ialah seorang artis legenda dan dikenali luas dengan lagu berelemen Jazz di Malaysia.
Sepanjang lebih 40 tahun berkarya, Sheila kekal sebagai antara penyanyi paling dihormati di negara ini.
Dengan lagu-lagu ikonik seperti Legenda, Antara Anyer dan Jakarta, dan Sinaran, Sheila membina identiti muzik tersendiri yang menggabungkan jazz, pop dan R&B.
Antara pencapaiannya termasuk Anugerah Industri Muzik, Anugerah BASF di Indonesia dan persembahan pentas di Jepun, Singapura, Indonesia, Amerika Syarikat dan United Kingdom.
Dengan gaya vokal unik dan semangat yang tidak pernah padam, Sheila terus menginspirasi lintas generasi.
Single terbaharunya, Moving On membawa semangat ketahanan dan keberanian serta menjadi bukti bahawa Sheila tidak pernah berhenti mengembangkan karya seninya. -- Gempak
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami