KUALA LUMPUR:Pelawak, penyampai radio dan ahli perniagaan, Shuib tidak pernah ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SRPM).

Sebaliknya, kehadiran Shuib di ibu pejabat SPRM tempoh hari hanyalah untuk memberi keterangan sahaja.

Menurut peguam artis itu, Muhammad Fadhli M. Sutris, anak guamnya itu telah memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM sepanjang keterangannya diambil.

“Beliau (Shuib) kemudiannya telah dibenarkan pulang setelah selesai proses tersebut manakala kehadiran Puan Siti Sarah (isteri Shuib) hanyalah untuk menemani suami beliau sahaja,” kata Muhammad Fadhli.

Muhammad Fadhil dalam kenyataan yang diedarkan kepada wartawan pada Sabtu berkata, penjelasan ini dibuat bagi menjawab salah faham segelintir pihak serta dakwaan di media sosial serta laporan media tempatan mengenai berita kehadiran Shuib di SPRM pada Khamis lalu.

“Tiada sebarang tangkapan mahupun permohonan reman dibuat terhadap kedua-dua anak guam seperti yang telah dilaporkan beberapa media sebelum ini dan kesemua kenyataan yang bertentangan dan tular adalah tidak benar sama sekali.

“Ingin kami tekankan sekali lagi bahawa kehadiran anak guam kami hanyalah untuk membantu proses siasatan pihak SPRM sahaja dan anak guam kami telah memberi kerjasama penuh dalam membantu siasatan tersebut,” jelas Muhammad Fadhli lagi. 

Pada 1 Oktober lalu, Siti Sarah memaklumkan kehadiran dia dan suami ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya adalah untuk memberi kerjasama selepas dipanggil memberi keterangan.