PELAKON Datin Sofia Jane berjaya meraih anugerah pelakon wanita terbaik menerusi lakonan hebatnya yang membawa watak protagonis (Maryam) di filem Maryam Pagi ke Malam pada Festival Filem Asia ke-21 di Rom, Itali.

Selain itu, secara keseluruhan naskhah arahan Badrul Hisham Ismail itu juga berjaya merangkul anugerah Most Original Film.

Menerusi perkongsian di akaun Instagramnya, Sofia meluahkan rasa syukurnya dan ucapan tahniah buat team produksi yang terlibat.

“Tahniah buat tim produksi Maryam Pagi ke Malam di Asian Film Festival semalam di Rome, Italy.

“Sesungguhnya, seniman Omar Abdullah dan seniman Roslan Madun yang berperan sebagai ayah dan pengasuh Maryam dalam filem ini memainkan peranan yang sangat penting dalam perkembangan watak Maryam.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih,” tulisnya pada ruangan kapsyen.

Dalam pada itu, menerusi video rakaman ucapan penerimaan anugerah yang dimuat naik di akaun Instagram @asianfilmfestival, pengarah Badrul Hisham akui berasa terkejut dan berbesar hati kerana filem tersebut berjaya meraih anugerah itu.

“Saya berasa sangat terkejut dan bangga kerana kami tidak dapat menyiarkan filem itu secara meluas di sini (Malaysia) atas sebab-sebab yang kurang jelas.

“Jadi, ia sangat menggalakkan apabila filem ini diiktiraf dan diraikan di tempat lain," katanya.

Filem berdurasi 90 minit itu dibiayai oleh Penjana Kreatif dan Geran Filem Ciri Arthouse-Festival daripada MyCreative Ventures dan diterbitkan oleh Anomalous Films.

Antara barisan pelakon lain yang membintangi filem itu termasuk Susan Lankaster, Vanidah Imran, Roslan Madun, Azman Hassan, Pekin Ibrahim, dan Bella Rahim dalam watak sokongan.

Maryam Pagi ke Malam menceritakan kisah tentang Maryam, mengisahkan tentang Maryam, seorang pemilik galeri berusia 50 tahun yang lahir daripada keluarga bangsawan.

Dia mahu berkahwin dengan seorang lelaki muda warga asing yang berasal dari Sierra Leone.

Bagaimanapun dia perlu menghadapi pelbagai cabaran daripada keluarga, sistem birokrasi syariah, dan masyarakat. -Gempak