Persatuan Seniman Malaysia, persatuan yang menjadi payung kepada karyawan seni tempatan bergolak lagi.

Baru-baru ini, pelakon tempatan yang juga Presiden Persatuan Seniman Malaysia, Zed Zaidi, telah bertindak menerusi laporan polis ke atas pemenang Pelakon Wanita Terbaik FFM 2007 Vanidah Imran - yang baru dilantik sebagai Bendahari persatuan sebagai "orang yang bertanggungjawab" atas "kemungkinan kehilangan buku cek persatuan".

Menurut laporan media, laporan polis itu dibuat "hanya sebagai persediaan jika berlaku penyelewengan dan memohon pihak bank untuk membatalkan buku cek lama dan mengeluarkan yang baru".

Susulan konflik tersebut, Zed Zaidi turut menempelak AJK Baharu yang dikatakan hanya pandai bercakap seperti yang tersiar di dalam media tempatan.

Tambah panas apabila ruang maya media sosial turut dikejutkan dengan kenyataan ahli yang juga Pemeriksa Kira-Kira, Adlin Aman Ramlie menerusi akaun Twitter yang secara terbuka menyelar tindakan Presiden.

Berikut merupakan Kenyataan Media oleh Ahli Jawatankuasa Baharu Persatuan Seniman 2014/16.

1. Kenyataan AJK hanya pandai cakap oleh Presiden Seniman
a. Berdasarkan laporan yang tersiar di portal MStar pada 20 Disember 2014 bertajuk “Zed Zaidi dedah AJK Baharu Persatuan Seniman hanya pandai cakap” telah sedikit sebanyak memberi persepsi negatif terhadap AJK Baharu Persatuan Seniman 2014/16.
b. Berdasarkan jangka waktu di antara tarikh pemilihan iaitu pada 27 September 2014 hingga 15 Oktober, 2014, iaitu tarikh mesyuarat pertama AJK Persatuan Seniman 2014/16 adalah ruang waktu yang sangat singkat dan mustahil untuk Presiden membuat sebarang penilaian terhadap mutu kerja dan prestasi kerja AJK Baharu Seniman.
c. Selepas Mesyuarat AJK Seniman pertama bertarikh 15 Oktober 2014, kami telah diberikan mandat untuk meneruskan tanggungjawab di bawah Biro masing-masing.
d. Dalam tempoh tersebut, terdapat beberapa isu semasa yang berbangkit berkaitan dengan Persatuan dan ahli-ahlinya termasuk beberapa hal pentadbiran yang perlu diperkemaskinikan.
e. Cadangan untuk mengadakan mesyuarat AJK yang kedua telah dimohon menerusi sistem aplikasi WhatsApp, yang mana sistem aplikasi tersebut telah pun dipersetujui oleh kesemua anggota mesyuarat AJK pertama, bahawa WhatsApp adalah medium utama komunikasi.
f. Menerusi group WhatsApp bernama “Seniman Exco” yang disertai oleh kesemua kepimpinan Seniman 2014/2016, AJK Baharu telah berusaha untuk mencadangkan tarikh untuk mesyuarat AJK kedua.
g. Namun, cadangan tersebut seperti tidak diendahkan dan dilayan dengan baik sedangkan permohonan hanyalah untuk mendapatkan tarikh mesyuarat AJK kedua. Malah dicadangkan oleh pihak Setiausaha agar AJK Baharu menghantar email secara rasmi pula.
h. Malangnya pada 29 November 2014 kesemua AJK Baharu telah dikeluarkan (removed) daripada group WhatsApp tersebut.
i. Untuk itu, kami secara rasmi membuat permohonan semula untuk mengadakan Mesyuarat AJK kedua menerusi email kepada Presiden pada 1 Disember 2014.
j. Namun pada 15 Disember 2015, Presiden telah membalas permohonan kami secara rasmi dengan menyatakan tiada keperluan untuk mengadakan mesyuarat AJK kedua buat masa ini kerana tiada hal penting dan meruncing.
2. Pada 19 Disember 2014, AJK Baharu sangat terkejut apabila mendapat tahu menerusi media berkenaan kes laporan polis yang telah dibuat oleh pihak Presiden Seniman terhadap Bendahari, sedangkan perkara yang dilaporkan oleh pihak Presiden itu adalah antara perkara yang mahu dibangkitkan oleh AJK Baharu untuk dibincangkan dalam Mesyuarat AJK kedua.

3. Dengan membuat laporan polis tersebut, jelas bahawa tindakan Presiden itu seolah-olah membelakangi AJK Baharu dan melanggar peraturan bahawa setiap keputusan Persatuan Seniman harus dipersetujui oleh kesemua anggota mesyuarat terlebih dahulu. Ini boleh dirujuk dalam Undang-Undang Persatuan Seniman pada Fasal 15 (iv).

4. Kami berpandangan bahawa kenyataan yang dikeluarkan oleh Presiden adalah tidak berasas sama sekali. Adalah lebih baik sekiranya segala permasalahan dalaman diselesaikan secara tertutup sesama AJK dalam mesyuarat.

5. Kami AJK Baharu bersepakat akan terus bersatu untuk menyokong Bendahari dalam setiap tindakan yang dilakukan dan sebarang alasan yang diberikan asalkan ianya tidak bertentangan dengan Undang-Undang Persatuan Seniman dan undang-undang lain.

6. Kami juga berharap semua barisan kepimpinan Persatuan Seniman 2014/16 mencapai kata sepakat untuk memberikan kerjasama agar tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh ahli dapat dilaksanakan dalam Persatuan.

---------------------------------------------------------------------------------
Ahli Jawatankuasa Baharu Seniman 2014/16 diwakili oleh Rashidi Ishak (Pengerusi Biro Sukan & Sosial), Datin Sofia Jane (Pengerusi Biro Pelakon), Khir Rahman (Pengerusi Biro Pendidikan Seni & Latihan), Arash Mohd (Pengerusi Biro Pemantauan & Penguatkuasaan), Sharifah Amani (Ketua Biro SENIMAN Muda) dan Lisa Surihani (Pengerusi Biro Sukarelawan & Penajaan)