SELEPAS terpalit dengan pelbagai kontroversi melibatkan hak bagi watak Spider-Man bersama Marvel Cinematic Universe (MCU), produksi filem antarabangsa popular, Sony Pictures dikhabarkan sedang dalam perancangan untuk menampilkan watak Spider-Man yang diterajui wanita, dikenali sebagai Madame Web.

Menurut portal Collider, filem spin-off Spider-Man terbaharu itu masih dalam perancangan, namun Matt Sazama dan Burk Sharpless telah sah dipilih sebagai penulis skrip filem berkenaan.

Pemilihan penulis skrip itu berdasarkan kejayaan bersama menerusi filem adiwira Morbius the Living Vampire yang dijangka ditayangkan tahun depan.

Bagi mereka yang kurang mengenali watak Spider-Man wanita itu, sebenarnya Madame Web mula muncul dalam siri Komik Marvel sekitar tahun 80-an, The Amazing Spider-Man (Jilid 210).

Watak itu merupakan mutan yang pakar dalam meramal masa depan beberapa adiwira.

Madame Web bukan sahaja menjadi mentor kepada Peter Parker, malah mentor kepada generasi lain iaitu Spider-Woman.

Madame Web digambarkan sebagai seorang wanita tua yang lumpuh dan buta serta bergantung hidup kepada mesin seakan-akan sarang labah-labah.

Oleh kerana itu, Madame Web mengelak untuk berdepan dengan konflik fizikal, sebaliknya menghantar adiwira lain untuk melakukan tugas.

Sony yang kini mempunyai hak kawalan penuh terhadap watak Spider-Man dikatakan menarik perhatian penonton sekiranya menjadikan watak Madame Web sebahagian daripada garis masa anak didik dan sekutunya.