Pasti sesiapa sahaja yang terpaksa menghentikan perniagaan hasil titik peluh sendiri akan merasa dukacita.

Ini apa yang perlu diharungi penyanyi antarabangsa, Yuna, apabila beliau terpaksa menghentikan perniagaan pakaian November Culture (NC) yang telah beroperasi selama enam tahun.

Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zara'ai mengaku sudah tidak mampu menampung perbelanjaan butik yang dahulunya beroperasi di Subang Jaya.

Beliau berkongsi berita sedih itu menerusi platform media Instagram (IG) miliknya dan IG November Culture pada Khamis.

"Dengan berat hati saya mengumumkan penutupan NC. Pasti semua tahu NC adalah sebahagian daripada hidup saya.

"Saya kini tidak mampu menampung perbelanjaan butik itu lagi. NC adalah butik yang berdiri sendiri tanpa pelabur dan tanpa sokongan sampingan.

"Saya dan hanya beberapa orang lain yang mengusahakan NC dengan sepenuh hati," luahnya.




Walau bagaimanapun, tambah Yuna, beliau berbangga dengan penubuhan butik NC yang turut diterima seluruh dunia.

"Terima kasih atas sokongan anda selama ini, penutupan ini bukan bererti saya putus asa tetapi saya ingin memulakan lembaran baru," katanya.

Dalam pada itu, Yuna turut berkongsi beberapa keping foto untuk memperingati usahanya dalam mendirikan perniagaan pakaian itu.