HIBURAN
Talk To My Manager: Adrenalin sama, energi baharu buat Aznil Nawawi

Bagi Aznil, program Talk To My Manager ibarat sebuah “relung masa” yang mengembalikan memori ketika beliau mula-mula berjinak dalam dunia pengacaraan lebih tiga dekad lalu.
KUALA LUMPUR: Selepas sekian lama tidak muncul di kaca televisyen sebagai pengacara, kemunculan Datuk Aznil Nawawi atau lebih mesra disapa Pak Nil menerusi program terbaharu Talk To My Manager terbitan Astro Malaysia membawa makna yang cukup besar - bukan sahaja kepada beliau sebagai hos legenda, malah kepada peminat hiburan tanah air.
Bagi Pak Nil, program ini ibarat sebuah “relung masa” yang mengembalikan memori ketika beliau mula-mula berjinak dalam dunia pengacaraan lebih tiga dekad lalu.
“Saya anggap ini pusingan ketiga saya dalam dunia pengacaraan. Pusingan pertama bermula dengan Pop Kuiz pada 1992, kemudian pusingan kedua menerusi Akademi Fantasia pada 2003, dan kini, Talk To My Manager pada 2025. Ketiga-tiga detik ini ada rohnya yang tersendiri,” katanya dalam wawancara bersama Astro AWANI.
Walaupun sudah lama meninggalkan pentas pengacaraan, aura dan adrenalin Pak Nil ternyata masih utuh.Beliau mengakui, perasaan yang hadir seakan sama seperti saat mengendalikan musim awal Akademi Fantasia (AF) dahulu.
“Saya rasa roh lama itu kembali. Macam tengok AF dulu… penuh tenaga, penuh ghairah. Cuma kali ini pendekatannya berbeza. Saya lebih matang, lebih fokus kepada nilai hiburan yang boleh dikongsi seisi keluarga,” ujarnya.
Mengapa terima tawaran?
Pak Nil juga mengakui, pada awalnya beliau sedikit berbelah bahagi sama ada untuk menerima tawaran mengacara Talk To My Manager.
“Saya tanya diri sendiri, masih relevankah gaya saya untuk program hari ini? Tapi selepas duduk berbincang dengan Raqim Ahmad (Naib Presiden Strategi Pembangunan Kandungan Hiburan Melayu Astro), mendengar konsepnya, saya rasa program ini serasi dengan jiwa saya.
"Ia program tontonan keluarga - semua peringkat umur boleh sama-sama menonton. Itu yang buat saya yakin untuk kembali,” jelas Aznil yang tidak dimamah usia sekalipun beliau bakal mencecah 63 tahun pada 6 November depan.
"Veteran" yang masih relevan
Walaupun berstatus “veteran”, Pak Nil membuktikan beliau masih mampu menguasai pentas dan memikat penonton.
Baginya, pengalaman panjang bukan alasan untuk ketinggalan, malah cabaran memahami muzik generasi baharu memberi nafas segar buat dirinya.
“Saya akui, ada lagu-lagu dalam Talk To My Manager yang saya langsung tidak pernah dengar. Tetapi di situlah cabarannya - untuk saya mendekati selera generasi hari ini.
"Saya tidak mahu orang lihat saya sekadar muncul atas nama nostalgia, tapi benar-benar masih mampu menjadi hos yang relevan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau juga menyentuh soal penerimaan penonton yang semakin kritikal dan matang berbanding era lalu.
“Zaman AF dulu penerimaan dan maklum balas penonton lain. Bahkan semasa saya 'hilang' seketika dari radar pengacaraan juga saya lihat pendekatan pengacara-pengacara lain.
"Sekarang, audiens lebih cerdik, lebih teliti. Itu buat saya lebih berhati-hati, lebih serius dalam memberi komen dan mengendalikan pentas," ujar Pak Nil yang sering menganalisis dan berusaha memahami kehendak serta selera penonton tempatan.
Sentimental, nostalgia dan nilai kekeluargaan
Dalam masa sama, Pak Nil sangat optimis, Talk To My Manager bukan sekadar sebuah rancangan hiburan, tetapi juga wadah yang membawa nilai sentimental, nostalgia dan kekeluargaan.
“Jangan lihat dari sudut hiburan semata-mata. Ada nilai keluarga di situ. Saya harus bertanggungjawab dalam segenap sudut tugas saya khususnya bila menegur ‘manager’ dan mengurus emosi peserta, semua itu kena profesional.
"Tambahan pula, ada sahabat lama saya seperti Sharifah Shahira yang turut terlibat, malah anak beliau juga bertanding. Semua ini jadikan pengalaman saya lebih bermakna,” katanya.
Talk To My Manager merupakan program realiti nyanyian yang menampilkan anak-anak selebriti tempatan membuktikan bakat seni mereka.
Sebilangan besar peserta program itu merupakan anak-anak yang 'membesar' di depan mata Pak Nil menjadikan beliau mempunyai nilai sentimental secara peribadi.
"Sebelum ini saya berkawan dan bersahabat dengan ibu atau ayah mereka. Kali ini, saya melihat anak-anak sahabat saya pula beraksi di pentas. Ini peluang dan pengalaman yang jarang kita dapat dalam hidup. Ini juga membuatkan saya sangat menghargai kepercayaan Astro kepada saya," ujar personaliti tersohor ini lagi.
Legasi berterusan
Walaupun lama tidak muncul di kaca TV, sokongan peminat jelas masih utuh.
Talk To My Manager berjaya menarik perhatian lebih 1.2 juta tontonan, membuktikan aura Pak Nil tidak pernah pudar.
“Alhamdulillah, ini semua hasil kerjasama pasukan produksi yang sangat hebat, kebanyakannya alumni legasi produksi Astro sendiri. Peserta-peserta pun ada pengikut masing-masing. Semua ini gabungan teamwork. Saya hanya salah satu bahagian kecil dalam kejayaan ini,” tambahnya merendah diri.
Ikon yang tidak pernah hilang
Kehadiran Pak Nil semula ke dunia pengacaraan lewat Talk To My Manager menandakan beliau bukan sahaja seorang penghibur, tetapi juga ikon yang telah menjadi sebahagian daripada perjalanan hiburan tanah air sejak awal 1990-an.
Bagi generasi yang membesar dengan Pop Kuiz dan Akademi Fantasia, program ini menjadi medan mengubat rindu.
Bagi generasi baharu pula, ia adalah peluang untuk mengenali figura yang pernah menggegarkan industri hiburan negara dengan gaya pengacaraan penuh karisma.
Dan bagi Pak Nil sendiri, ini bukan sekadar sebuah program, tetapi sebuah perjalanan jiwa - satu putaran ketiga yang membuktikan bahawa seorang pengacara legenda tidak pernah benar-benar hilang, sebaliknya sentiasa relevan dengan waktunya.
* Talk To My Manager ditayangkan secara langsung di Astro Ria pada setiap hari Ahad, pukul 9 malam.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami