KUALA LUMPUR: Festival indie Asia Tenggara, TAPAUfest bakal diadakan di Resort Tasik Raban, Lenggong, Perak pada 22 dan 23 Oktober ini.

Lari dari kebiasaan, pengunjung boleh bersantai sambil menikmati hiburan muzik indie berlatarkan pemandangan indah yang pastinya menjadi momen yang paling diingati.

Pengasas TAPAUfest, Ahmad Faris memaklumkan pihaknya berbesar hati menganjurkan acara di kawasan luar bandar kerana mendambakan peluang meneroka tempat menarik di Malaysia.

“Selepas satu dunia terkesan dengan wabak, orang ramai mahukan lebih daripada sekadar konsert.

“Kami teruja mendapat kerjasama dari Majlis Daerah Lenggong, CENDANA, Waka, Ipoh Social Club, Santuy Travellers, Kadiak, Versussika, PBUY, Outsiders Bike, dan Anbot  kerana mempercayai kami untuk memartabatkan komuniti dan budaya indie Asia Tenggara di Lenggong," katanya.

Bertemakan #SerumpunBerpesta, TAPAUfest bakal dihiburkan dengan persembahan artis Indie tempatan dan luar negara antaranya Feast (Indonesia), Margasatwa (Malaysia), Abangsapau (Singapura), Sweetass (Malaysia), The Pinholes (Singapura) dan Salammusik (Malaysia) pada hari pertama manakala diteruskan dengan persembahan Kungfu Heidi (Malaysia), The DARE (Indonesia), The Filters (Malaysia), Sobs (Singapura), The Times (Malaysia) dan Hindia (Indonesia) pada hari kedua.

Foto The Pinholes/TAPAUfest2022

Foto Salammusic/TAPAUfest2022
Dalam masa sama, pengunjung yang datang boleh menonton filem tayangan dari penggiat industri perfileman Indie serta berkongsi ilmu di ‘Bengkel + Layar’ anjuran KakiSeni.

Bagi penggemar makanan, anda boleh singgah ke ‘WARUNG’ untuk menikmati juadah istimewa serta mendapatkan piring hitam, kaset dan CD, selain karya seni dari artis tempatan di Kedai Serba Serbi.

Tiket Pra-Jualan berharga RM165 (satu tiket untuk hari pertama atau hari kedua), Tiket Solo Weekend berharga RM320 (satu tiket untuk hari pertama atau hari kedua) dan Tiket Geng Weekend berharga RM1240 (empat tiket untuk hari pertama atau hari kedua) boleh didapati di www.TAPAUfest.asia atau hubungi Ahmad Faris di [email protected] atau +60172351204.