KUALA LUMPUR: "Night, Mother,” sebuah teater hasil karya Marsha Norman yang memaparkan kisah di ruang tamu dalam sebuah rumah terpencil pada waktu petang yang dikongsi oleh Jessie dan ibunya yang sudah tua, Thelma akan menemui penonton bermula esok (6 Januari).

Jessie, seorang pengidap epilepsi yang menganggur dan mengalami masalah perkahwinan yang gagal serta mempunyai seorang anak lelaki yang sangat bermasalah.

Teater ini menandakan penampilan sulung Pat Gui sebagai pengarah selepas berada dalam industri teater selama 30 tahun dan pakar dalam pengurusan pentas produksi.

Selepas bertahun-tahun, Pat Gui merasakan sudah tiba masanya untuk menukar angin seketika dan melihat bagaimana rasanya berada di kerusi pengarah.

Mengapa naskhah ini dipilih untuk teater kali ini?

Ia adalah kerana karya yang sangat kuat yang dan berpusat pada dua watak dalam karya tersebut.

Tumpuan diberikan khususnya kepada dua karakter wanita ini dan bukannya pada kesan khas, set mewah mahu pun busana. Ia akan menjadi perjalanan roller coaster yang penuh emosi.

Ia kembali kepada asas membuat teater walaupun drama ini menyentuh isu kesihatan mental, namun ia bukanlah subjek utama yang ditonjolkan dalam teater yang akan berlangsung selama 11 hari ini.

Teater ini akan dipentaskan di sebuah venue teater baru, PJPac di One Utama mulai 6 hingga 16 Januari 2022 dan dibintangi oleh Sukania Venugopal dan Anitha Ab Hamid.

Pelakon Sukania Venugopal telah bekerja di Malaysia dan Singapura untuk projek teater, TV dan filem, termasuk filem Talentime arahan Allahyarham Yasmin Ahmad.

Beliau membuat persembahan dan menjadi pengarah bersama drama tarian dengan The Temple of Fine Arts, bekerja dalam teater dan muzikal kanak-kanak, dan merupakan penghibur perintis dengan The Instant Cafe Theatre.

Anitha Abd Hamid pula mempunyai pengalaman dalam radio, televisyen, filem pendek dan indipenden dan sudah tentu dalam bidang teater.

Beliau terlibat dalam produksi teater seperti 'Scorpion Orchid', 'The Killing of Sister George', 'Ang Tau Mui', 'When They Dance 3', 'Silence, Please', 'Cinta Sang Arnab', 'Project Watermelon' , 'Love Journey', 'Bare Becket' dan 'The Language Archive.

Tiket untuk teater itu kini dijual di www.onetix.com.my pada harga RM95 (tidak termasuk yuran tiket). Tiket early bird dijual pada harga RM85 (tidak termasuk yuran tiket) dan telah berakhir pada 30 November 2021.