Ringkasan AI
- Kerajaan Malaysia akan menempatkan 10,000 pelarian Rohingya di Turkiye melalui program latihan kemahiran berstruktur sebagai penyelesaian isu pelarian secara berperikemanusiaan.
- Program ini melibatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selama tiga hingga enam bulan, selaras keperluan industri di Turkiye.
- Pelaksanaan inisiatif akan diselaraskan bersama pihak berkuasa Turkiye, UNHCR dan agensi berkaitan bagi memastikan proses berjalan teratur dan mematuhi peraturan antarabangsa.
PUTRAJAYA: Sebanyak 10,000 pelarian Rohingya dari Malaysia bakal ditempatkan di Turkiye melalui satu program latihan kemahiran berstruktur, sebagai sebahagian daripada usaha strategik kerajaan dalam menangani isu keberadaan etnik itu di negara ini secara lebih tersusun, berkesan dan berperikemanusiaan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata Jemaah Menteri telah bersetuju dengan cadangan inisiatif penempatan 10,000 pelarian Rohingya itu yang dikemukakan susulan hasil lawatan kerja rasminya ke Turkiye baru-baru ini.
Beliau berkata persetujuan kerajaan Turkiye untuk menerima 10,000 pelarian tersebut merupakan satu perkembangan yang amat positif dalam usaha kerajaan mencari penyelesaian jangka panjang terhadap isu pelarian Rohingya yang sekian lama menjadi antara cabaran pengurusan migrasi dan keselamatan negara.
“Pendekatan ini bukan sekadar menghantar pelarian Rohingya ke negara ketiga, sebaliknya memberi mereka peluang membina kehidupan baharu melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) selama tiga hingga enam bulan, dengan bidang kemahiran yang diselaraskan mengikut keperluan sebenar pelbagai sektor industri di Turkiye.
“Melalui pendekatan ini, pelarian Rohingya yang terlibat akan dibekalkan dengan kemahiran praktikal dan kompetensi pekerjaan yang relevan, sekali gus meningkatkan kebolehpasaran mereka serta membuka peluang untuk menyertai pasaran pekerjaan dan menyumbang secara produktif kepada ekonomi negara penerima, tertakluk kepada peraturan yang berkuat kuasa di Turkiye,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Zahid, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing, berkata inisiatif itu juga selari dengan semangat penyelesaian jangka panjang oleh Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), khususnya melalui pendekatan penempatan semula di negara ketiga yang mengambil kira aspek keselamatan, perlindungan, maruah dan masa depan golongan pelarian.
“Penyelesaian isu pelarian tidak seharusnya hanya dilihat daripada perspektif penguatkuasaan dan penghantaran keluar semata-mata tetapi juga mesti mengambil kira dimensi kemanusiaan.
“Mereka bukan sekadar dipindahkan dari sebuah negara ke negara lain, sebaliknya diberikan ilmu, kemahiran dan peluang untuk membina masa depan yang lebih terjamin,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau berkata keputusan itu membuktikan kesungguhan kerajaan untuk mencari penyelesaian konkrit terhadap isu pelarian Rohingya dan pendekatan kerjasama strategik dengan negara ketiga seperti Turkiye mampu menjadi model baharu pengurusan pelarian yang lebih sistematik, mampan dan bermaruah.
Ahmad Zahid berkata kerajaan akan menyelaraskan pelaksanaan inisiatif itu bersama pihak berkuasa Turkiye, UNHCR serta agensi berkaitan bagi memastikan proses pemilihan, latihan, dokumentasi dan penempatan dilaksanakan secara teratur, dengan mengambil kira keperluan industri, persetujuan individu yang terlibat serta peraturan antarabangsa yang berkaitan.
“Usaha ini mencerminkan kepentingan hubungan diplomatik yang erat antara Malaysia dan Turkiye dalam menterjemahkan kerjasama dua hala kepada penyelesaian praktikal terhadap isu kemanusiaan yang turut memberi kesan kepada kepentingan negara,” katanya.
-- BERNAMA