ISU saman Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin terhadap bekas madunya, Ira Kazar telah selesai setelah kes perceraiannya dengan pengarah Syamsul Yusof berakhir di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan semalam.

Peguam syarie yang mewakili pengarah filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan Azmi Mohd Raisitu mengesahkan perkara itu.

"Penyelesaian secara global (menyeluruh). Tiada dakwa-dakwa lagi antara kedua-dua belah pihak maknanya perjanjian (penyelesaian) menyeluruh, ya termasuk sivil.

"Ia berdasarkan penyelesaian penuh yang ditandatangani oleh Syamsul dan Puteri Sarah, pada malam Selasa,” katanya.

Azmi berkata demikian ketika ditemui usai prosiding lafaz cerai Syamsul dan Puteri Sarah yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah, Kuala Lumpur pada Rabu.

Sementara itu, Puteri Sarah ketika ditanya mengenai perkara itu enggan mengulas lanjut.

"Mengenai kes (saman) dengan dia pun saya tak boleh dedahkan lebih lanjut," ujarnya.

Pada Jun 2022, Puteri Sarah memfailkan saman terhadap Ira selepas anak pelakon veteran itu didakwa mengganggu rumah tangganya.

Pada 4 Julai tahun sama, Mahkamah Sesyen di sini mengeluarkan perintah injunksi inter-parte (kedua-dua belah pihak) yang antara lainnya menyatakan Ira atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengan Ira menjejaskan ketenteraman dan kedamaian Puteri Sarah dan keluarganya serta keluarga mentuanya termasuk suaminya, Syamsul.

Ira juga dihalang daripada mendekati atau berada dalam jarak 500 meter daripada Puteri Sarah, keluarganya dan keluarga mentuanya, suaminya atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengan isteri pertama Syamsul itu. -- Gempak