KUALA LUMPUR: Pengarah filem superhero Batman dan Batman Returns serta Planet of the Apes, Tim Burton telah membatalkan program berjumpa peminat di Malaysia akibat dijangkiti COVID-19.

Sutradara ternama Hollywood itu pada asalnya dijadual menghadiri pameran The World of Tim Burton dan sesi beramah mesra dengan peminat di Malaysia pada 21 Mac (esok) berlangsung di Pavilion Bukit Jalil, di sini.

Bagaimanapun, sesi tersebut kini dibatalkan selepas Burton yang berusia 64 tahun disahkan positif COVID-19 dan kini sedang menjalani kuarantin.

Susulan pembatalan tersebut, kelas bersama pengarah itu yang sepatutnya berlangsung pada hari yang sama ditangguhkan hingga 14 April ini.

Sebaliknya, ia akan diadakan secara maya dengan maklumat lanjut yang akan dikongsi dalam beberapa minggu akan datang oleh penganjur, Toybox Projects.

Pemegang tiket VIP The World of Tim Burton akan menerima tiket percuma untuk kelas pengarah maya bersama-sama sesi jumpa-peminat selama 10 minit dengan pengarah itu sendiri.

Bahkan, kumpulan pemegang tiket VIP juga akan menerima tanda tangan peribadi daripada Burton sebagai tanda penghargaan dengan butiran pengambilan akan die-melkan kepada mereka kelak.

Mereka akan dapat mengumpul buku The Art of Tim Burton dan barangan di pameran dan tempat pop-up muzium bermula 21 Mac ini.

"Kami di Toybox Projects ingin memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan kami mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada peminat, penaja dan media yang sabar dan memahami.

"Pameran dan muzium pop-up The World of Tim Burton kekal tidak berubah dan akan tersedia untuk umum dari 21 Mac hingga 30 Julai 2023," kata penganjur dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Sementara itu, Pengurus Koleksi dan Pameran Tim Burton Production Inc., Brandi Pomfret memohon maaf kepada peminat Malaysia atas nama pengarah filem tersebut.

"Kami sangat bersedih untuk berkongsi berita ini dengan anda, tetapi kami telah menerima berita bahawa Burton tidak dapat hadir ke Kuala Lumpur kerana COVID-19.

"Kami tahu ini akan menjadi kekecewaan yang sangat besar bagi mereka yang berharap dapat melihat beliau pada pembukaan The World of Tim Burton, namun kesihatan Burton adalah keutamaan kami.

"Namun, kami gembira kerana pameran seni diteruskan dan tahu bahawa peminatnya akan memahami dan bersyukur atas peluang untuk melihat karya seninya," kata Pomfret dalam kenyataannya.

Maklumat lanjut mengenai pameran The World of Tim Burton akan dikongsi di laman media sosial rasmi Toybox Project.