BINTANG ternama Hollywood, Tom Hanks dan isterinya Rita Wilson disahkan positif jangkitan COVID-19.

Kedua-dua pelakon itu dijangkiti virus pembunuh berkenaan ketika berada di set penggambaran sebuah filem yang berkisar tentang kehidupan legenda rock 'n roll, Elvis Presley di Australia.

Dalam satu muat naik di Instagram, Hanks memberitahu bahawa mereka mengalami simptom keletihan dan sakit badan selain selesema.

Tambahnya, beliau dan isteri akan dipantau dan dikuarantin untuk tempoh yang lama.

Sepanjang tempoh itu, katanya, langkah-langkah keselamatan seperti yang dinasihatkan oleh pengamal perubatan akan diambil.




Dalam filem mengenai Elvis itu, Hanks memainkan watak Kolonel Tom Parker, pengurus kepada Elvis yang meniti populariti pada era 1950an.

Australia kini mencatat sekurang-kurangnya 127 kes positif jangkitan COVID-19 dengan tiga kematian.

Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) pada Rabu turut mengisytiharkan COVID-19 sebagai satu pandemik global.

Sementara itu, Chet Hanks, 29, turut mengesahkan ibu bapanya dijangkiti virus tersebut dalam satu video yang dimuat naik ke Instagram.

"Saya baru sahaja menghubungi mereka. Mereka sihat sahaja dan tidak begitu sakit. Mereka juga tidak terlalu risau," kata Chet.

"Saya kira ia tidak perlu dirisaukan sangat. Namun, saya hargai kebimbangan yang ditunjukkan orang ramai."